KUALA KRAI: Hasrat seorang guru yang hamil enam bulan mengadakan kenduri tahlil untuk arwah bapanya tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terbabit kemalangan di Kilometer 60, Simpang Tiga Kampung Bukit Sireh, dekat sini, Selasa lalu.
Mangsa, Hasniah Yusof, 41, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak, Sungai Durian, dekat sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu, kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dari Bukit Sireh menghala Kuala Krai bertembung sebuah Proton Iswara dari arah bertentangan.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang hamil anak kelima parah di kepala dan perut sebelum dihantar ke HUSM pada hari kejadian.
Pemandu Proton Iswara itu, Wan Idris Wan Deraman, 28, yang memandu dari Kuala Krai menghala Machang terselamat dan cedera ringan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai.
Menceritakan kejadian menimpa ibu saudaranya, Saharan Che Din, 31, berkata, arwah merancang mengadakan kenduri arwah bapanya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Dia yang hamil enam bulan memberitahu keluarga mengenai hasratnya berbuat demikian, namun tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bedal, Bukit Sireh, semalam.
Menurutnya, kemalangan itu tidak diduga memandangkan jarak rumah arwah dengan sekolah berkenaan kira-kira 10 kilometer.
“Arwah parah sebelum dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia awal pagi semalam (kelmarin),” katanya sebak.
Menurutnya, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan, kelmarin.
“Arwah meninggalkan empat anak, dua lelaki dan perempuan berusia tiga hingga 12 tahun,” katanya.
Suami mangsa, Abdullah Talib, 40-an, guru sekolah agama di Kuala Krai ketika ditemui enggan mengulas lanjut kejadian menimpa arwah isterinya kerana masih sedih dan terkejut.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Abd Rahman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu Selasa lalu, kira-kira jam 8 pagi.
myMetro: 23 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan