LANGKAH kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan rumah untuk guru-guru amatlah dihargai dan dialu-alukan. Malangnya projek perumahan tersebut yang telah siap beberapa tahun lalu dianggap membazir sahaja dan tidak relevan dengan keadaan masa sekarang.
Ini barangkali disebabkan lambatnya pihak kementerian dan kerajaan khususnya bertindak memenuhi permintaan kaum pendidik yang amat memerlukan rumah satu ketika dahulu bagi melancarkan tugas yang memerlukan mereka tinggal berhampiran sekolah. Kelewatan melaksanakan projek ini menyebabkan apabila ia siap, tiada pula orang yang hendak mendiaminya.
Hampir setiap daerah pendidikan di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya satu kompleks yang terdiri daripada dua hingga empat blok apartmen lima tingkat. Ada daerah yang mempunyai dua kompleks begini mengikut kapasiti sekolah-sekolah di situ.
Sekarang ini kompleks-kompleks tersebut kosong sahaja tidak berpenghuni. Ia sama ada telah rosak atau usang akibat tidak digunakan. Ada juga yang telah dicerobohi kerana tidak ada pengawasan mengakibatkan beberapa peralatan dan barang-barang yang disediakan hilang.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku keadaan demikian:
n Kerajaan lambat memulakan projek ini iaitu selepas hampir 20 tahun permintaan para pendidik yang memerlukan rumah akibat kekurangan projek perumahan dan juga syarat ketat untuk membuat pinjaman membeli rumah. (Ketika itu pegawai mesti berusia 30 tahun ke atas, baru dikira layak memohon pinjaman).
n Kebanyakan guru sekarang telah mempunyai rumah sendiri sama ada di bandar berdekatan atau di kampung masing-masing atau menyewa rumah yang berhampiran.
n Sekiranya tinggal di rumah yang disediakan ini, dipotong semua elaun perumahan dan COLA yang didapati melebihi kadar sewa rumah-rumah persendirian yang lain (Contohnya guru DG44 akan kehilangan RM500 sedangkan sewa rumah persendirian baru sekitar RM300).
Kesan daripada itu, kita dapat lihat bangunan kompleks perumahan guru ini lengang dan usang. Tidak ada penjagaan dan pengawasan sebab tidak ada penghuni. Ia dikelilingi semak-samun dan ada yang menjadi sarang kutu rayau dan penagih dadah.
Ini dapat dielakkan kalau kerajaan mengkaji semula pemotongan elaun perumahan dan COLA pegawai-pegawai yang berkeinginan tinggal di situ. Beri kelulusan mereka tinggal di situ dengan kadar sewa yang munasabah bagi satu-satu kawasan ataupun satu piawaian yang tidak membebankan. Atau buka pelawaan untuk kakitangan jabatan lain untuk menyewa sebagai tempat kediaman daripada dibiarkan kosong sahaja.
Dengan cara ini, pembaziran dapat dielakkan dan bangunan tidak usang dan rosak begitu sahaja. Semoga perbelanjaan yang telah dikeluarkan itu berbaloi untuk kegunaan warga pendidik dan kakitangan Jabatan Pelajaran.
ILHAM SYAKIMA
Taman Guru, Kedah
Utusan Malaysia Online: 23 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan