Sabtu, 17 Oktober 2009

Boria SK Sungai Karang aktif

KUANTAN - Kumpulan Boria Sekolah Kebangsaan Sungai Karang yang dianggotai 15 murid Tahun Empat dan Lima itu semakin aktif membuat persembahan di sekolah selain dijemput menghadiri majlis keraian.

Guru pembimbing, Zainatul Aini Mat Isa berkata, kumpulan boria itu kini menjadi salah satu kumpulan wajib mengadakan persembahan dalam setiap program rasmi sekolah.

Menurutnya, penubuhan kumpulan itu bermula awal tahun ini semata-mata ingin menyertai pertandingan boria.

“Saya mencari murid berbakat dan berpotensi untuk menaikkan nama kumpulan boria ini. Walaupun kali pertama menyertai pertandingan namun mereka menunjukkan prestasi baik.

“Penyanyi solo, Nur Arisya Mohd Azhari dilihat berbakat dan dia dapat memberikan komitmen tinggi sepanjang latihan,” katanya.

Zainatul Aini berkata, sekolah turut merancang untuk mengaktifkan kumpulan berkenaan dengan menyertai pelbagai pertandingan pada tahun depan.

“Mereka semakin bagus dan menunjukkan perubahan positif kerana pengalaman mengadakan persembahan di luar memberi mereka keyakinan selain baiki kemahiran mereka.

“Bagaimanapun, mereka masih memerlukan bim�bingan secara berterusan daripada guru supaya perkembangan mereka dipantau sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, dia kini semakin sibuk mengadakan sesi pemilihan murid Tahun Tiga untuk dijadikan pelapis kepada kumpulan sedia ada.

“Kriteria yang dicari daripada bakal pelapis nanti ialah murid berbakat, boleh melakukan gerak tari selain boleh beri komitmen terhadap jadual latihan,” katanya.

Selain Zainatul Aini yang bertanggungjawab terhadap kareografi, Roslan Isa pula berperanan sebagai penulis lirik dan menyusun muzik.

“Saya berharap, kumpulan ini terus aktif dan kami mengalu-alukan undangan pihak luar,” katanya.

Sinar Harian: 17 Oktober 2009

Tiada ulasan: