Khamis, 22 Oktober 2009

Pelajar bengkak pipi ditampar guru



MUSLIHIN menunjukkan bagaimana Imran (kiri) ditarik dan ditampar oleh seorang guru di SMK Dang Anum, Jasin semalam.


JASIN - Gara-gara dituduh ponteng sekolah, seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mendakwa ditampar seorang guru lelaki sebanyak lima kali di pipi sehingga bengkak.

Pelajar terbabit, Imran Mahfuz, 15, berkata, selepas perhimpunan pada pagi Isnin lalu iaitu kira-kira pukul 9 pagi, dia mencari kawan-kawannya di padang kerana ketika itu waktu Pendidikan Jasmani (PJ).

Menurutnya, melihat rakan-rakannya tiada di padang, dia terus ke kantin sekolah untuk mencari mereka di sana.

"Ketika melalui gelanggang bola tampar, seorang guru lelaki memanggil saya dan bertanya saya dari mana. Saya memberitahu saya dari padang kerana ketika itu waktu PJ tetapi tiada pelajar lain di padang.

"Namun guru ini tidak percaya dan menuduh saya ponteng dan berbohong lalu mencekak kolar baju dan menampar saya sebanyak dua kali di pipi kiri," ceritanya.

Imran mendakwa, guru berkenaan kemudiannya mengheretnya ke bahagian belakang bangunan dan menamparnya sebanyak dua kali lagi kerana dituduh memanjat pagar sekolah.

"Saya kemudian dibawa ke bilik guru dan ditampar sekali lagi di hadapan guru lain walaupun berulang kali saya menafikan dakwaannya," katanya.

Kata Imran, akibat ditampar, bibirnya pecah dan pipi kirinya bengkak sehingga sukar untuk makan.

Kosmo Online: 22 Oktober 2009

Tiada ulasan: