Rabu, 21 Oktober 2009

Murid cedera di kepala dipukul guru dengan penyapu


ALWI Bol menunjukkan kesan jahitan di kepala anaknya, Muhammad Nur Firdaus yang didakwa dipukul guru sekolahnya dengan menggunakan batang penyapu di Kampung Sega Bau, Sarawak, semalam.


KUCHING 20 Okt. - Seorang murid tahun tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Serumbu, Kampung Sega, Bau dekat sini, terpaksa menerima tiga jahitan di kepala apabila didakwa dipukul gurunya dengan menggunakan penghujung kayu penyapu.

Mangsa, Muhammad Nur Firdaus Lui@Alwi, 9, terpaksa menerima tiga jahitan di kepalanya setelah dikatakan dipukul sebanyak dua kali oleh guru Bahasa Inggeris di dalam kelasnya semalam.

Malah, seorang lagi rakannya juga didakwa dipukul guru terbabit sehingga mereka terpaksa menerima rawatan di Hospital Bau.

Amat menyedihkan, tindakan guru terbabit turut disaksikan oleh 40 murid di dalam kelas berkenaan.

Bapa mangsa, Lui@Alwi Bol, 41 berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari sewaktu kelas Bahasa Inggeris sedang berlangsung.

Kata bapa kepada dua anak itu, tindakan anaknya berbual dengan rakan telah didengari guru terbabit.

Guru itu, dakwanya, 'naik angin' lalu bertindak memukul anak dan rakannya sebanyak dua kali dengan menggunakan kepala penyapu.

"Kepala anaknya dan rakannya berdarah lalu dibawa guru terbabit ke bilik guru. Kedua-duanya kemudian dibawa ke hospital oleh guru hal ehwal murid ke hospital untuk rawatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siniawan Lot, Batu 15, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, Alwi memberitahu, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Bau dan terpaksa mengambil cuti seminggu untuk menjaga anaknya yang cedera.

Beliau berkata, kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku di sekolah terbabit kerana guru berkenaan juga didakwa pernah menimbulkan kemarahan ibu bapa lain.

Katanya, beliau tidak kisah sekiranya guru sekolah mahu memukul anaknya jika nakal tetapi jangan melampaui batas.

"Saya mahu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan sewajarnya kerana mungkin perkara lebih buruk akan berlaku kepada murid lain jika tiada tindakan tegas," katanya yang bekerja sebagai pembantu am pejabat di Kementerian Pertahanan di sini.

Dalam pada itu, Muhammad Nur Firdaus berkata, dia merasakan kepalanya seperti hendak 'pecah' ketika dipukul guru Bahasa Inggeris, namun tidak berasa sakit.

"Guru itu kemudian menyatakan kepala saya berdarah lalu memohon maaf. Saya rasa takut untuk bertemu lagi dengan guru itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr. Julaihi Bujang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya telah menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil kepada guru berkenaan sekiranya terbukti bersalah.

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: