Rabu, 21 Oktober 2009

Hala tuju pendidikan negara dibincang minggu depan

21/10/2009 5:08pm

KUALA LUMPUR 21 Okt — Hala tuju pendidikan negara termasuk pelaksanaan terkini berhubung keperluan pengajaran dan pebelajaran akan dibincangkan pada Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012, minggu depan.

Ketua Jabatan Institut Aminuddin Baki (IAB), Rohaya Hassan berkata lebih 500 pendidik dan pegawai kanan Kementerian Pelajaran dijangka menghadiri persidangan selama tiga hari itu bermula Selasa depan di IAB, Genting Highlands, Pahang.

"Setiap peserta berkenaan yang terdiri daripada ketua-ketua Bahagian kementerian, pengetua, guru besar, pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah akan mendapat ”first hand” maklumat menerusi persidangan ini.

"Persidangan yang julung kali diadakan itu adalah sebagai usaha untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata antara kertas kerja yang akan dibentangkan pada persidangan itu ialah Sub-Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Pra Sekolah, Sub-NKRA Literasi dan Numerasi, Sub-NKRA Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sub-NKRA New Deals/Bai”ah Pengetua dan Guru Besar.

Selain itu, katanya peserta juga akan diberikan taklimat berhubung Bidang Keberhasilan Utama Nasional (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan negara bagi tempoh tersebut.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, dijangka menyampaikan amanat dan merasmikan persidangan itu, Rabu depan.

— BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: