Ahad, 25 Oktober 2009

Lawatan sambil belajar beri input berguna

KUANTAN - Lawatan Sambil Belajar 74 pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah memberi input berguna dan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan Kolej Antarabangsa IKIP.

Kaunselornya, Noraini Mohd Daud berkata, semua pelajar terbabit baru sahaja selepsai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada jumlah keseluruhan iaitu 300 pelajar.

Menurutnya, lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian aktiviti mereka bagi mengisi waktu lapang selain mengelakkan pelajar ponteng.

“Selain untuk memberikan pendedahan berkaitan peluang pendidikan di kolej ini, ia juga bertujuan untuk memberi pengalaman baru kepada pelajar mengenai kehidupan di kampus.

“Sebelum ini, mereka tidak dapat pendedahan ini dan lawatan ini sedikit sebanyak dapat beri gambaran mengenai budaya belajar di kampus,” katanya.

Noraini berkata, selain Kolej Antarabangsa IKIP, sekolah turut mengatur jadual untuk mengadakan lawatan ke Pusat Perkembangan Kemahiran Pahang, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Kolej Komuniti Kuantan.

”Selain lawatan, pengisian lain di sekolah juga disediakan seperti mengadakan program ceramah Pusat GiatMara, Sekolah Menengah Teknik, Pertandingan Kraf Tangan, ceramah Agensi Antidadah Kebangsaan dan permainan dalaman.

“Semua aktiviti ini disusun bagi mengelakkan pelajar bosan apabila berada di sekolah selepas menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Pelajar, Mohd Hadi Danial Mohd Dashuki, 15, berkata, lawatan itu memberi pendedahan mengenai bidang kemahiran yang ditawarkan kepada pelajar berminat.

“Bagaimanapun, saya lebih berminat terhadap bidang akademik dan mahu melanjutkan pengajian dalam bidang Sains sekiranya mendapat keputusan peperiksaan baik,” katanya.

Rakannya, Ahmad Kamil Ahmad Kamaruddin, 15, berkata, dia memperoleh pengalaman baru dan kali pertama hadir ke kolej itu.

“Sebelum ini, saya tidak pernah datang ke sini dan banyak ketahui melalui taklimat mengenai peluang pendidikan dan kemahiran yang ditawarkan di sini.

“Kolej ini juga mempunyai kemudahan lengkap untuk anak jati Pahang apabila melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Sinar Harian: 25 Oktober 2009

Tiada ulasan: