Sabtu, 31 Oktober 2009

Tinjau lokasi perkhemahan: TPM

Oleh Saufi Hamzah dan Mohd Roji Abdullah
hnews@bharian.com.my

Pentadbir sekolah diarah pastikan kemudahan kegiatan luar sentiasa selamat

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua pentadbir sekolah meninjau lokasi, termasuk tapak perkhemahan dan kemudahan lain yang digunakan pelajar ketika menyertai kegiatan luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kawalan keselamatan pelajar perlu dipertingkatkan berikutan kebimbangan ibu bapa setiap kali anak mereka mengambil bahagian dalam kegiatan luar sekolah.

"Kita sudah mengeluarkan arahan baru oleh Ketua Pengarah Pelajaran supaya dipertingkatkan kawalan keselamatan pelajar.

"Mereka perlu tinjau tempat dan kemudahan digunakan pelajar supaya tidak ada kebimbangan seperti masalah kita hadapi baru-baru ini," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Iskandar Investment dengan Marlborough College untuk membangunkan kolej itu di kawasan peranginan antarabangsa dalam Iskandar Malaysia.

Beliau diminta mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan anak mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum.

Kebimbangan tercetus selepas kematian tiga murid yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia di Kuala Dipang, Kampar, selepas terjatuh ke dalam Sungai Kampar ketika menyeberangi jambatan gantung di tapak perkhemahan itu pada Isnin lalu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, prosedur operasi standard sedia ada berkaitan penganjuran perkhemahan masih boleh digunakan apabila pihak sekolah menganjurkan aktiviti seumpama itu.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata, puncanya ialah struktur jambatan dan sememangnya dalam satu daripada terma rujukan Jawatankuasa Penyiasat ialah berkaitan struktur jambatan.

"Struktur jambatan adalah perkara pokok... jika ia elok kejadian itu tidak berlaku. Latihan dan urusan lain sememangnya mematuhi SOP. Bila struktur jambatan tidak betul, itu sudah kita akui jadi masalah, bukan soal SOP," katanya.

Muhyiddin juga berkata, tapak perkhemahan itu adalah tapak kekal dan banyak aktiviti perkhemahan diadakan puluhan tahun lalu.

"Soalnya tapak tidak menjadi masalah. Kejadian tak pernah berlaku dalam sejarah Kementerian Pelajaran. Sekolah lain yang adakan aktiviti juga tidak ada masalah," katanya.

Di BATU PAHAT, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihak swasta yang menawarkan pusat perkhemahan dan kem latihan kepada pelajar sekolah diwajibkan mendaftar dengan kementerian bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan serta pemeriksaan.

"Peraturan baru ini dipersetujui kementerian bagi membolehkan pegawai kita membuat pemeriksaan untuk memastikan keselamatan setiap kem atau pusat perkhemahan pada tahap meyakinkan dan diperakui selamat untuk murid atau pelajar menjalani aktiviti kokurikulum.

"Pendaftaran boleh dibuat oleh pengusaha pusat berkenaan di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di kawasan masing-masing," katanya.

Berita Harian Online: 31 Oktober 2009

Tiada ulasan: