Isnin, 26 Oktober 2009

Gajah ganggu penempatan guru

KUALA LIPIS 25 Okt. - Seramai 20 orang guru yang tinggal di kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) di Merapoh dekat sini, hidup dalam kebimbangan sejak empat tahun lalu berikutan ancaman gajah liar yang sering mengganggu kawasan penempatan mereka.

Guru-guru itu merupakan sebahagian daripada 90 orang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Merapoh dan Sekolah Kebangsaan Merapoh.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, guru-guru berkenaan terpaksa tinggal di kuaters berkenaan disebabkan perumahan guru yang ada tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan rumah sewa yang sesuai.

''Mereka kini hidup dalam ketakutan apabila diancam oleh kehadiran sekumpulan gajah liar yang sering mengganggu mereka sejak empat tahun lalu," kata Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlang SMK Merapoh dekat sini hari ini.

Menurut beliau, daripada 90 guru yang mengajar di kedua-dua sekolah itu hanya 24 guru sahaja yang tinggal di kuarters guru dan selebihnya terpaksa menyewa rumah penduduk kampung.

Tambahnya, ada guru yang terpaksa menyewa rumah di kawasan lebih jauh iaitu di bandar Gua Musang, Kelantan kira-kira 30 kilometer dari Merapoh kerana sukar untuk mendapat rumah sewa di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau merayu Kementerian Pelajaran segera mengatasi masalah tersebut dengan membina kuarters baru bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Katanya, beliau difahamkan pihak kementerian ada meluluskan peruntukan beberapa tahun lalu untuk membina perumahan guru di Teluk Gunung bagi memenuhi keperluan terbabit.

''Namun projek berkenaan senyap begitu sahaja sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, masalah perumahan guru di kawasan itu perlu diatasi segera demi menjaga keselamatan dan nyawa guru-guru terbabit dan keluarga mereka.

Ini kerana katanya, gajah liar terbabit pernah menceroboh dengan memecah pintu rumah salah seorang guru wanita pada waktu malam menyebabkan dia dan keluarganya sentiasa hidup dalam kebimbangan.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2009

Tiada ulasan: