BUKIT KATIL - Guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Bukit Katil di Kampung Bukit Bayan terkejut apabila mendapati peralatan kelengkapan di sebuah kelas di sekolah itu musnah akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab.
Guru Besar, Norhayati Abd Majid berkata, perkara itu menyebabkan kerugian kepada sekolah dan murid-murid memandangkan mereka tidak dapat belajar dengan selesa selepas kejadian itu.
Menurutnya, sebanyak 16 meja belajar patah selain bilik darjah dicat dengan tanda merah pada syiling.
“Saya sangat kesal kerana ada individu yang sanggup melakukan perbuatan seperti ini.
“Jika mereka marah ataupun tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak sekolah, mereka boleh berjumpa kami dan menceritakan yang berlaku,” katanya.
Norhayati berkata, beliau sedar perbuatan itu bersifat dendam ataupun perasaan tidak puas hati berdasarkan ayat yang ditulis pihak tersebut pada papan hitam dalam bilik darjah.
“Pihak sekolah sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru,” katanya.
Guru, Mokhtar Abdul Karim berkata, ayat yang ditulis itu menunjukkan kemarahan individu terbabit kepada pihak sekolah.
“Ini merupakan kali pertama ia berlaku. Sebelum ini memang sekolah ini pernah dicerobohi namun, ia bermotifkan curi memandangkan terdapat barang-barang hilang tetapi kali ini sebaliknya.
“Saya tidak sedar jika ada antara pengurusan sekolah yang menyinggung perasaan individu terbabit sehingga dia melepaskan kemarahannya dengan cara begini,” katanya.
Mokhtar berkata, mungkin ia satu protes bagi menakutkan pihak sekolah ataupun cubaan supaya tidak dapat mengajar anak murid di sini dengan baik.
“Apa pun yang dikehendakinya, kami tetap akan mendidik murid di sini dengan sebaik mungkin,” katanya.
Nurbaya Abd Ghani pula berkata, sepanjang sekolah itu ditubuhkan tiada perselisihan faham berlaku antara mereka bersama penjaga pelajar.
“Walaupun kami ada memarahi anak mereka atas dasar tanggungjawab seorang guru namun, tiada reaksi negatif yang diterima pihak sekolah daripada penjaga.
“Bagi saya, perkara ini sangat memalukan pihak sekolah lebih-lebih lagi ini adalah sekolah agama. Kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kami sungguh mengecewakan,” katanya.
Norhayati berkata, sekiranya ada salah faham, pihak berkenaan diharapkan dapat berjumpa dan berbincang dengan pihak sekolah.
“Fikirkanlah anak-anak di sini, jangan mengganggu ketenangan mereka lebih-lebih lagi peperiksaan akhir tahun akan diadakan tidak lama lagi.
“Pihak sekolah terpaksa menanggung kerugian bukan sahaja daripada segi peralatan malah, ia boleh menjadikan anak-anak di sini trauma dengan kejadian itu,” katanya.
Sinar Harian: 25 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan