KOTA TINGGI 29 Okt. - Sistem sekolah satu aliran mampu melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil menyatakan sokongan secara peribadi terhadap saranan itu, beliau berkata, sistem pendidikan satu aliran selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ini perkara yang besar. Pada prinsip dan secara peribadi saya menyokong saranan itu. Dari segi kerajaan adalah macam mana kita hendak uruskan kerana kita ada aliran kebangsaan, swasta, persendirian dan soal ini soal besar tapi kita galak teruskan perbincangan.
"Saya hendak bersikap lebih terbuka, bincang dan debat dulu dan sampai satu peringkat supaya kita dapat satu gambaran lebih jelas dan menyeluruh tentang apa yang kita kehendaki," katanya hari ini.
Beliau mengulas mengenai pandangan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang bersetuju supaya diperkenalkan sistem satu aliran di peringkat sekolah menengah untuk menyatupadukan rakyat.
Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini menyarankan kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan kaum tercapai.
Semalam, saranan itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk dilaksanakan bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai.
Muhyiddin berkata, Laporan Razak yang membuat kajian mengenai sistem pelajaran negara juga memberi fokus ke arah mencapai matlamat itu.
Beliau berkata, walaupun negara mempunyai Dasar Pelajaran Kebangsaan, namun faktor sejarah yang merangkumi masyarakat majmuk menyebabkan Malaysia mengamalkan lebih daripada satu aliran sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.
"Kalau disebutkan gagasan 1Malaysia, akhirnya akan menuju satu matlamat untuk melahirkan rupa bangsa Malaysia yang bersatu padu.
"Antara perkara paling pokok dalam hal ini adalah pendidikan untuk membina modal insan, sahsiah, perwatakan, peribadi dan sifat kemalaysiaan berdasarkan sistem pelajaran yang kita ada," katanya.
Justeru, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik berbincang dan mendebatkan mengenai perkara itu supaya dapat mendengar dan mengetahui pandangan kaum Melayu, Cina, India dan semua rakyat mengenai perkara ini.
Muhyiddin berkata, Perdana Menteri juga pernah menyatakan bahawa sistem pelbagai aliran yang ada di Malaysia kini adalah sebahagian daripada 'warisan' negara.
"Soalnya, macam mana kita hendak bentuk semula supaya dapat diwujudkan kesatuan dari segi aliran. Situasi yang ada sekarang kena diurus dengan baik," katanya.
Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan