Selasa, 13 Oktober 2009

SK Machang Bubok perlu padang

MACHANG BUBOK - Sekolah Kebangsaan (SK) Machang Bubok memerlukan padang bagi membolehkan pihak sekolah menjalankan aktiviti.

Yang DiPertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Machang Bubok, Mohamad Puzi Awang berkata, sekolah ‘kehilangan’ padang ekoran pembinaan tambahan dua blok baru empat tingkat sekolah yang dibuat di atas tapak padang.

Menurutnya, surat permohonan bagi mendapatkan padang telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dua tahun lalu ketika projek penambahan blok belum lagi bermula.

Difahamkan ia telah pun dipanjangkan ke pengetahuan pihak Kementerian Pelajaran di Kuala Lumpur. Namun, hingga kini status permohonan masih belum diketahui.

“Padang sedia ada di sekolah ini memang kecil dan apabila dua blok baru sekolah ditambah, sekolah langsung tiada padang. Ia menyukarkan pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti di sekolah ini.

“Saya juga mempunyai anak yang bersekolah di sini dan sebagai YDP, saya memohon agar pihak kementerian dapat memberikan maklum balas dengan kadar segera berkenaan permohonan untuk mendapatkan padang bagi :kemuda�han murid di sekolah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas surat dihantar, pihak JPN ada memberi maklum balas meminta pihak PIBG membuat carian di Pejabat Daerah SPT untuk mencari tapak sesuai dijadikan padang.

Katanya, pihaknya telah pun menjumpai lokasi dan tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak padang dan kini cuma menunggu pihak kementerian untuk meluluskan pengambilannya.

Beliau berkata, pihaknya walau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana menambah dua blok sekolah, dan menaik taraf satu blok lama, namun dalam masa sama berharap agar mereka dapat memberi perhatian terhadap permohonan yang telah dikemukakan dahulu serta menyegerakan proses pengambilan tanah untuk dijadikan padang sebelum bangunan blok itu siap sepenuhnya 18 April 2011 nanti.

Ini kerana, katanya, beliau tidak mahu sebarang masalah timbul dan sekolah masih tiada padang apabila blok bangunan siap.

Mohamad Fauzi dalam pada itu berkata, ketiadaan padang di sekolah menyebabkan segala aktiviti termasuk hari sukan sekolah sukar diadakan sehinggakan mereka perlu menggunakan Stadium Batu Kawan untuk me�ngadakan hari sukan dan padang di balai polis berhampiran sekolah digunakan bagi tujuan menjalani latihan.

Pada masa sama, beliau berkata, ketiadaan padang sekolah bukan sahaja menyukarkan murid, malah masyarakat kampung kerana mereka turut menggunakan padang sama untuk menjalankan aktiviti riadah waktu petang dan lain-lain aktiviti.

Hal ini kerana, kampung berkenaan turut tidak mempunyai padang.

Justeru, mereka kini seolah-olah ‘hilang tempat bergantung’ kerana tiada tempat lain untuk mengadakan aktiviti harian.

Fauzi berkata, harapan beliau dan penduduk kampung agar masalah mereka dapat segera diatasi demi kepentingan semua pihak termasuk murid sekolah dan penduduk kampung.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: