KUANTAN – Kreativiti dan keberkesanan mesej yang disampaikan memberi kelebihan kepada kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan drama Bahasa Inggeris Sekolah Menengah daerah Kuantan.
Kumpulan yang dianggotai 15 pelajar Tingkatan Empat itu tampil dengan drama bertajuk, Who Is More Important? berjaya memberikan lakonan mantap berdasarkan tema pertandingan iaitu 1Malaysia.
Guru pembimbing, Najilla Abdul Hamid berkata, kumpulan itu menjalani latihan selama sebulan bermula minggu kedua bulan puasa setelah mempunyai skrip terbaik.
Menurutnya, bagi menggalakkan pelajar aktif dalam bidang seni kreatif, sekolah turut menganjurkan pertandingan menulis skrip dan yang terbaik terpilih untuk dipentaskan.
“Pemilihan pelajar juga dilakukan melalui sesi uji bakat setelah sekolah menawarkan peluang secara terbuka kepada pelajar.
“Seramai 15 pelajar dipilih dan mereka berjaya membawa watak masing-masing dengan baik sehingga berjaya menewaskan kumpulan lain yang mengambil bahagian.
"Saya sendiri tidak menyangka kumpulan kami akan menang kerana ini kali pertama menyertai pertandingan drama sebegini,” katanya.
Who Is More Important? mengetengahkan jalan cerita mengenai sepohon pokok yang saling mementingkan diri dan mengaku bahawa diri mereka penting, sedangkan untuk menjadi sepohon pokok subur, semuanya memainkan peranan masing-masing.
Najilla berkata, kemenangan itu menjadi semangat dan titik permulaan kepada sekolah itu dalam menggilap bakat pelajar berpotensi dalam bidang tersebut.
“Saya akui, kemenangan yang diperoleh banyak membangkitkan semangat guru dan pelajar untuk mengaktifkan seni kreatif dan drama di sekolah.
“Ia boleh menjadi salah satu bidang kokurikulum kepada pelajar untuk mendapat pengalaman dan pendedahan terbaik dengan dunia luar,” katanya.
Katanya, persaingan hebat dari sekolah lain amat cabaran kepada kumpulan pelajar lelaki itu.
Kumpulan itu turut menampilkan penampilan pelajar asing yang terlibat dalam Program Pertukaran Pelajar selama setahun iaitu Mubarak Mustafa dari Nigeria yang mempunyai kerakyatan Hong Kong.
Menurutnya, penglibatannya dalam kelab drama di Hong Kong memberi kelebihan malah dia juga berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada bersama rakan lain.
“Ini pengalaman baru buat saya kerana berada di sini. Walaupun baru tiga bulan di sini namun saya dapat sesuaikan diri dengan suasana di sekolah.
“Saya sangat gembira dan teruja dengan setiap aktiviti yang dijalankan sekolah malah pertandingan ini dapat mengeratkan hubungan dengan rakan yang terlibat,” katanya.
Sinar Harian: 17 Oktober 2009
Sabtu, 17 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan