KOTA BHARU- Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Bharu pitam semasa terkena kejutan elektrik ketika menaiki tangga tingkat sekolah berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.
Mangsa, Nik Mohammad Saifullah Nik Mustafa, 14, pelajar tingkatan dua bernasib malang pada hari berkenaan semasa keluar dari makmal sains dan menuju ke kelasnya di tingkat tiga apabila tangannya terpegang wayar elektrik lama di kawasan tangga.
“Sebaik sahaja keluar makmal, saya melangkah ke kelas bagi meneruskan pembelajaran dan tiba-tiba saya sempat melihat wayar lama pecah yang bersambung dengan lampu.
“Saya mungkin terpegang wayar tanpa pembalut itu dan kemudian tidak tahu apa berlaku sehinggalah saya sedar semasa kereta memasuki pintu masuk hospital,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian berkenaan mungkin tidak diduga memandangkan tangga berkenaan jarang digunakan oleh pihak sekolah dan dia menjangkakan wayar elektrik tersebut tercabut pembalut semasa kejadian ribut baru-baru ini.
“Disebabkan saya pengsan setelah berasa tangan kanan terkena elektrik, guru memberitahu kawan-kawan yang melihat saya pengsan turut membantu semasa kejadian.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sempat diselamatkan oleh kawan-kawan dan pihak sekolah dengan segera dan berharap kejadian ini tidak menimpa rakan pelajar lain,” kata anak kelima daripada lapan adik-beradik.
Ibu Saifullah, Simuji Zakaria, 46, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon mengatakan anaknya pitam setelah terkena kejutan elektrik di sekolah.
“Dua hari sebelumnya, Sailfullah mendapat surat cuti daripada doktor setelah kakinya didapati bengkak semasa bermain bola sepak, tetapi dia (Saifullah) tetap mahu pergi sekolah bagi mengelak ketinggalan dalam subjek yang dipelajarinya.
“Saya terkejut dengan kejadian menimpa dia tetapi saya bersyukur kerana doktor memberitahu keadaan jantungnya stabil dan dia boleh dibawa balik untuk berehat di rumah kerana badannya masih penat,” katanya yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, semalam.
Keluarga berkenaan yang tinggal di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu berharap pihak sekolah lebih prihatin dan mengambil langkah menjaga keselamatan pelajar di kawasan sekolah bagi mengelak pelajar lain turut terkena kejutan elektrik.
Sinar Harian: 17 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan