Oleh Ridzuan Yeop
2010/05/13
BEBAN kerja bertambah adalah antara isu utama yang sering diperkatakan dalam kerjaya seorang guru. Selain itu, cuti pada setiap Sabtu yang dinikmati sebahagian guru juga mungkin sudah menjadi sejarah. Mereka kini bertugas pada hari itu untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, bermesyuarat selain mengajar kelas gantian bagi cuti perayaan.Itu belum termasuk beban tugas dibawa pulang ke rumah seperti menyemak tugasan sekolah serta membuat persiapan mengajar yang memerlukan sesetengah bersengkang mata hingga larut malam.
Sememangnya guru wajar menerima kenyataan bahawa mereka yang memilih bidang itu sebagai kerjaya perlu menerima beban tugas yang diberikan tanpa banyak soal.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata masalah beban tugas guru termasuk perlu bertugas pada setiap Sabtu sememangnya antara aduan paling banyak diterima kesatuan termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata, tugas hakiki guru adalah mengajar tetapi mereka turut dibebani tugas lain yang tiada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di kelas seperti pentadbiran mahupun pekeranian.
“Kesatuan memahami masalah yang dihadapi, termasuk guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya 'arahan dalam arahan' yang mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.
“Contoh, jika Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran negeri mahu setiap sekolah melaksanakan satu projek untuk setiap sekolah, sebaliknya arahan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau sekolah pula mungkin setiap guru perlu melaksanakan satu projek dan ini sudah tentu membebankan guru,” katanya.
Sehubungan itu, NUTP yang turut terbabit dalam jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban tugas guru, sudah mengenal pasti beberapa faktor puncanya dan akan dibentangkan dalam beberapa siri mesyuarat jawatankuasa untuk ditangani.
“Jawatan pembantu guru perlu diwujudkan segera bagi membantu guru yang turut melaksanakan tugas pentadbiran dan menjadi antara punca utama beban guru bertambah,” kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan.
“Jika makmal, ada pembantu makmal begitu juga dengan pembantu IT (Teknologi Maklumat) di sekolah, sudah sampai masa jawatan pembantu guru diwujudkan bagi meringankan beban guru,” katanya sambil memberitahu PIBGN pernah mencadangkan keperluan itu kepada kementerian.
Beliau berkata, buat permulaan barangkali seorang pembantu guru boleh dilantik bagi membantu empat atau lima guru melaksanakan kerja pentadbiran dan perkeranian.
Katanya, jika beban guru dikurangkan, mereka boleh menumpukan perhatian terhadap tugas hakiki, iaitu pengajaran dan pembelajaran selain meningkatkan soal disiplin dan keselamatan anak di sekolah.
“Ketika dibebani tugas, guru perlu memahami mereka adalah insan berbeza yang diberi tanggungjawab murni mendidik anak bangsa. Ini tugas suci dan mereka tidak wajar mudah kecewa,” katanya mengucapkan syabas kepada guru selaku pendidik tulen sepanjang zaman.
Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata bagi mengurangi beban guru, setiap guru besar atau pengetua perlu bijak mengatur serta mengagihkan tugas kepada guru masing-masing.
“Jika tidak, akan ada guru yang terpaksa melakukan kerja yang begitu banyak dan yang lain kurang,” katanya sambil mencadangkan mereka mewujudkan senarai semak bagi memastikan setiap guru mendapat tugas yang mampu mereka laksanakan selain memantau setiap tugasan yang diberikan sama ada membabitkan tugas mengajar dan aktiviti kokurikulum dengan perancangan setiap awal tahun.
Selain itu, Ruslan berkata, bilangan murid yang ramai, contoh 45 hingga 50 orang dalam sebuah kelas; turut menyebabkan guru dibebani tugas untuk mengajar berbanding mengajar antara 30 hingga 35 murid.
Apapun, yang pasti jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah beban tugas guru itu bakal memberikan harapan baru dalam profesyen perguruan supaya minat terhadap kerjaya ini di kalangan guru sedia ada dan generasi muda tetap subur.
Apatah lagi penubuhan jawatankuasa khas itu awal April lalu adalah atas perhatian serius Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran bagi memastikan guru tidak terus dibebani tugas tidak sepatutnya.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP akan mengenal pasti tahap serius isu itu serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Setiap guru perlu yakin bahawa bebanan tugas yang mengekang kemajuan kerjaya, kehidupan dan emosi mereka selaku pendidik akan tetap diatasi supaya tiada lagi yang terluka – bagi membolehkan lilin yang membakar itu terus menerangi dunia ilmu dan pendidikan anak bangsa.
Berita Harian Online: 13 Mei 2010
1 ulasan:
Beban kerja guru dapat dikurangkan dengan pengurangan kerja mengisi rekod. Cara yang paling mudah adalah dengan penggunaan Kurangkan beban kerja guru dengan aplikasi yang baik.
Data aplikasi yang diperlukan oleh kpm, ppd, jabatan boleh dihantar tanpa mengisi rekod ke dalam aplikasi yang dikehendaki seperti SMM, SAP dan sebagainya
Catat Ulasan