2010/05/24
SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai cadangan Kementerian Pelajaran iaitu guru wajib mendapatkan lesen perguruan yang menyamai amalan bidang profesional seperti kedoktoran dan undang-undang.Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Saya berpendapat, sebelum membantah semua cadangan, ada baiknya kita perhalusi rasional cadangan itu. Daripada pandangan kasar, cadangan itu seperti menambah beban guru. Tentu ada guru yang berkata, jika sudah ada ijazah, apa perlunya lesen?
Sudah bertahun-tahun guru melalui NUTP memperjuangkan pelbagai isu perguruan; gaji, bonus, perjawatan dan beban tugas. Bagi saya, isu lesen perguruan membantu menyelesaikan masalah itu pada jangka masa panjang.
Jika perlu mendapat lesen, guru tergolong dalam kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan peguam. Selepas itu, barulah guru tidak boleh disuruh membuat kerja tidak berkaitan kerana sebagai tenaga profesional, mereka harus membuat tugasan berkaitan bidang tugasnya saja, bukan bidang lain seperti perkeranian.
Amalan ini juga menyekat penubuhan sekolah swasta yang hanya menitikberatkan keuntungan dengan merekrut tenaga guru yang tidak terlatih, sekali gus menjejas masa depan pelajar.
Pihak sekolah juga (sama ada kerajaan atau swasta) tidak akan sewenang-wenang mengambil guru sandaran atau guru ganti untuk mengajar anak kita di sekolah. Dengan cara ini, terhentilah cakap-cakap semua orang boleh menjadi guru atau menjadi guru kerja mudah kerana hanya bermodalkan air liur.
Antara ciri tenaga profesional mereka tidak boleh digantikan tenaga kerja tidak terlatih. Pada masa ini, jika NUTP hendak menuntut kenaikan gaji atau meminta bonus, barulah tuntutan itu dianggap munasabah kerana kita memang daripada kumpulan profesional yang bekerja dengan kepakaran masing-masing, bukan lagi melakukan kerja yang hampir semua lepasan universiti boleh lakukan seperti menaip dan menyusun fail.
Mungkin ada isu yang boleh ditimbulkan daripada aspek praktikal, contohnya jika hanya mereka yang ada lesen mengajar di sekolah, tentu bilangan guru berkurangan dengan drastik sehingga menjejas pembelajaran murid kerana guru sandaran tidak terlatih tidak boleh diambil lagi. Jika kelas tiada guru, isu keselamatan pula boleh ditimbulkan ibu bapa.
Tetapi dari segi idea dan dasarnya, isu lesen guru ini membawa kebaikan kepada guru dari segi kebajikan dan kualiti bidang perguruan. Guru juga tentu berasakan perlu untuk meningkatkan mutu kerja untuk menyamai tahap 'profesional' seperti yang dikehendaki.
Bukan saja hal ehwal guru terjaga dengan lebih baik, masyarakat dan murid juga menghormati guru kerana 'bukan semua orang boleh mendidik. Barulah kita dapat mencapai satu daripada teras PIPP iaitu Memartabatkan Profesion Perguruan.
Saya berpendapat, NUTP perlu berfikiran rasional. Bukan semua syarat dikenakan ke atas guru membebankan. Jika ada cadangan yang baik, kita perlu sokong. Mungkin dari segi praktikal dan pelaksanaan, perkara ini masih kabur, tetapi jika ia membawa kebaikan kepada pihak guru, mengapa tidak?
AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai
Berita Harian Online: 24 Mei 2010
3 ulasan:
saya menyokong usul penulis...
bagus lesen tu...banyak yang jd cikgu tu tak ada komitmen dan dedikasi yang tinggi...
saya menyokong lesen diberikan kepada guru di negara ini. ini akan menjadikan bidang perguruan mempunyai sistem pengurusan penilaian seperti yang dijalankan oleh Majlis Peguam, Persatuan Perubatan, Persatuan Akauntan dan lain-lain bidang profisional yang telah lama wujud di negara ini. Guru akan menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih fokus terhadap jawatannya sebagai guru apabila diberikan satu sijil khusus yang mengiktiraf jawatan guru secara profisional. Hari ini kita melihat ramai guru yang mencampur adukkan tugas utama mereka dengan hal-hal lain seperti politik, perniagaan, tingkahlaku yang tidak bermoral seperti mencabul,merogol,mengambil dadah, mabukmabuk dan sebagainya. Sikap segelintir guru ini menconteng arang dikalangan guru yang lain terutama sekali di sekolah yang terlibat. Ada juga sesetengah Pengetua atau Guru Besar yang hanya pandai mengarah tetapi tidak tahu membuat atau memberikan petunjuk kepada orang bawahan. Ini juga akan menjatuhkan pengurusan sekolah ke arah yang lebih berkualiti. Ada tindakan-tindakan yang dibuat oleh ketua pentadbir atau guru-guru kanan sekolah yang orang kampung yang setakat tingkatan 3 pun tahu cara membuat yang lebih baik. Disebalik pemberian sijil pengiktirafan ini golongan pendidika tahu had-had kuasa dan tindakan yang mereka jalankan dengan jelas dan mereka tahu apabila syarat-syarat pemberian sijil pengiktirafan dilanggar maka mereka sudah tahu bahawa tindakan pembuangan atau penggantungan tugas serta-merta menanti mereka. Sememangnya kita tahu bahawa ada kalangan guru yang tidak layak pun menjadi guru kerana apa sahaja kerja sekolah mereka tidak mahu terlibat atau mengaku secara terng-terang tidak tahu buat kerja teapi tiada usaha ke arah mengubah diri menjadi guru yang tahu. Mereka asyik mengomel sahaja,bising, cakap-cakap luar dan menjatuhkan maruah guru lain.
sebagai seorang guru sepatutnya terlibat secara langsung sebagai guru akademik dan guru kokurikulum. Tetapi yang kita lihat hari ini kebanyakan mereka hanya terlibat secara langsung sebagai guru akademik sahaja tetapi tidak mahu terlibat sebagai guru kokurikulum sedangkan yang diamanahkan oleh Kementerian Pelajaran ialah guru harus terlibat dalam kedua-dua bidang. Walau bagaimana pun apabila penilaian prestasi di buat mereka mulai bising kalau kawan mereka dapat cemerlang dan diri sendiri diberikan penilaian biasa.
Oleh itu, pengiktirafan kepada guru melalui pemberian lesen guru akan dapat mengatasi, merungkai masalah guru yang tidak menjadi guru di sekolah.
saya menyokong guru di beri lesen..kerana ramai guru yang sebenarnya tidak layak menjadi guru kerana tiada komitmen terhadap tugas yang diamanahkan. Berikut ini adalah guru-guru yang tidak layak jadi guru dan perlu dicantas dari awal melalui pemberian lesen;
1. menjadikan pelajar sebagai pemuas nafsu
2. mengambil atau mengedar dadah
3. sering melawat rumah pelacuran
4. asyik bertukar pasangan lelaki atau perempuan
5. tidak masuk kelas
6. tidak membuat ringkasan
7. tidak memberikan ujian
8. tidak menjalankan kokurikulum
9. tidak mengikut arahan semasa
10. tidak menghadiri mesyuarat
11. datang lambat
12. asyik bersembang di bilik guru
13. tidak melayan ibubapa dengan sopan
14. tidak berpakaian yang sesuai sebagai seorang guru
15. asyik mengurus (perniagaan)
16. mengamalkan rasuah
17. mengambil keuntungan daripada wang pelajar
18. menilai guru berat sebelah
19. ada sikap sinis terhadap guru lain
20. memandang rendah guru lain
21. Terlalu merendah diri hingga tidak tahu apa hendak dibuat
22. bersikap sombong
23. tidak mesra pelanggan
24. tidak menyiapkan tugasan yang diberi.
25. tiada kemahiran berkomunikai
26. tiada kemahiran teknik mengajar yang pelbagai
27. kaki bangku
Inilah antara sikap guru yang tidak layak jadi guru. Oleh itu pemilihan guru haruslah tepat dan memenuhi standard keperluan guru. Standar Guru Malaysia adalah satu-satunya panduan kepada semua guru supaya lebih profisional dalam menjalankan tugas.
Catat Ulasan