Sabtu, 19 Jun 2010

Koperasi KGGMMB mahu bina surau di sekolah luar bandar

BENTONG 18 Jun - Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) merancang untuk membina surau di sekolah terpilih di negeri ini bagi kemudahan pelajar pada tahun ini.

Pengerusi Koperasi KGGMMB, Dr. Abdul Raheem Mohd. Yusof berkata, tumpuan pembinaan surau bernilai kira-kira RM50,000 itu adalah di kawasan luar bandar.

''Projek pembinaan surau ini merupakan usaha amal jariah yang dirancang menerusi modal terkumpul bernilai RM53.4 juta yang berakhir 31 Disember tahun lalu daripada 28,927 anggota koperasi.

''Koperasi juga turut menunaikan zakat perniagaan bernilai RM74,105 pada tahun lalu dan sumbangan lain kepada surau, anak yatim serta tabung amal kebajikan bernilai RM10,100," katanya pada mesyuarat agung Koperasi KGGMMB, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Piatu, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arshad.

Menurut Abdul Raheem, projek membina surau itu dilakukan menerusi keuntungan perniagaan yang dijalankan koperasi itu.

Selain itu, kata beliau, koperasi turut melaksanakan program Mengimbau Destinasi Bangsaku yang bakal disumbangkan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebanyak RM50,000.

''Sumbangan ini untuk membantu pelajar yang tercicir akibat kemiskinan tetapi berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

''Pelajar miskin dari luar bandar yang dikenal pasti akan dibantu sepanjang pengajian di UiTM menerusi sumbangan ihsan menerusi dana keuntungan koperasi ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati guru yang bakal bersara daripada perkhidmatan perguruan supaya terus menjadi anggota koperasi KGGMMB.

''Antara faedah yang bakal dinikmati termasuk dividen tertakluk kepada keuntungan tahunan, sumbangan derma kematian RM10,000 hingga RM20,000 serta sumbangan pengkebumian kepada waris ahli," katanya.

Beliau berkata, anggota koperasi juga boleh menyertai Skim Pinjaman Segera Tanpa Faedah sehingga RM4,000 dan tempoh bayaran balik selama 24 bulan serta insurans Skim Ikhtiari KGGMMB.

Katanya, dengan caruman sebanyak RM30 hingga RM100, ahli bakal memperoleh faedah seperti perlindungan komprehensif, elaun kemasukan hospital serta beberapa manfaat lain.

Abdul Raheem menambah, koperasi KGGMMB juga sedang menyusun strategi perniagaan dan penambahan ahli di kalangan guru dengan hasrat menjadikan koperasi itu bertaraf korporat.

Utusan Malaysia Online: 19 Jun 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

andai pihak KGGMMB memilih sekolah kami untuk pembinaan surau tersebut,setinggi-tinggi penghargaan dan kesyukuran hanya mampu diucapkan.-warga SK Kemahang,Lipis...