Jumaat, 10 Julai 2009

BI tak terjejas – PM

PUTRAJAYA 9 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan matlamat untuk memantapkan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kepentingan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, justeru ia akan diperkukuhkan menerusi penambahan waktu belajar dan guru-guru berkualiti.

Tegas beliau, pemantauan terhadap dasar PPSMI mendapati pelaksanaannya tidak seperti dihasratkan termasuk hanya lapan peratus guru yang menunjukkan keyakinan berbuat demikian.

“Malah dengan keputusan ini (mansuh PPSMI), kita akan meningkatkan kemudahan lain termasuk makmal bahasa serta pengenalan kesusasteraan Inggeris.

“Jika keadaan mengizinkan seperti mana (idea) yang dilontarkan oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kemungkinan kita jadikan kelulusan bahasa Inggeris itu sebagai wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap penguasaan bahasa Inggeris untuk membolehkan kita bersaing di era globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Kesembilan di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya kekhuatiran sesetengah pihak bahawa pemansuhan PPSMI berupa langkah ke belakang dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama di peringkat persekolahan.

Najib bagaimanapun percaya jika penambahan dalam pembelajaran bahasa Inggeris dilaksanakan, seseorang itu akan lebih berkeyakinan dalam penguasaan bahasa itu termasuk dalam mata pelajaran yang menggunakan bahasa tersebut.

Mengenai kekecewaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pemansuhan PPSMI yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya enam tahun lalu, beliau berkata: “Kita tidak ada beza dari segi matlamat. Matlamatnya sama, kita dah terima betapa pentingnya bahasa Inggeris, cuma kaedah bagaimana nak sampai pada matlamatnya, itu sahaja.”

Semalam, Kabinet memutuskan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Utusan Malaysia Online: 10 Julai 2009

Tiada ulasan: