Khamis, 16 Julai 2009

SK St. John 1 ke Pertandingan Robotik Kebangsaan

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penghasilan robot angklung yang boleh memainkan lima not muzik membolehkan pasukan Kelab Robotik Sekolah Kebangsaan (SK) St. John 1 menjuarai Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Zon E (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) hari ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka menempah tiket ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan di Perlis selama tiga hari bermula 10 Ogos ini.

Pertandingan peringkat akhir akan menyaksikan pasukan tersebut berentap dengan juara dari zon-zon lain untuk mewakili Malaysia dalam World Robot Olympiad (WRO) 2009 di Korea pada November ini.

Guru penasihat kelab itu, Dasimah Mohd. Daud ketika ditemui berkata, SK St. John 1 memenangi pertandingan tersebut untuk peringkat sekolah menengah atas bagi kategori biasa dan tempat pertama dan kedua bagi kategori terbuka.

''Bagi kategori terbuka, konsep yang dikehendaki adalah robot seni. Pelajar telah menghasilkan I-Rat, angklung yang diintegrasi bersama aplikasi robot menggunakan bahan terbuang dan permainan Lego.

''Angklung ini boleh memainkan lima not muzik iaitu A, B, C, D dan E. Untuk peringkat akhir nanti, kita merancang untuk menambah lagi tiga not muzik yang baru," ujarnya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak.

Sementara itu, ketua pasukan itu, Syazman Irman Mohd. Ariffin, 16, berkata, pasukannya akan mengekalkan konsep yang sama pada pertandingan akhir tetapi akan menambah baik model sedia ada.

''I-Rat boleh berfungsi membaca not muzik untuk lagu Marry Had A Little Lamb berdasarkan bacaan pengimbas cahaya yang mengikut pergerakan tangan manusia menggunakan perisian NXT Brainstorming.

''Idea pembinaannya mengambil masa lebih kurang empat bulan setelah meninjau beberapa alat muzik yang dijual di Pasar Seni," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Julai 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PERTAMANYA MAAF DIPINTA KERANA SAYA INGIN MEMBETULKAN BAHAWA BUKAN SK ST JOHN 1 YANG TELAH MEMENANGI PERTANDINGAN TERSEBUT TETAPI SEBENARNYA SMK ST JOHN.SEBAGAI GURU PENASIHAT KELAB ROBOTIK SK ST JOHN 1 SAYA RASA ADALAH TIDAK WAJAR UNTUK KAMI MENERIMA PENGHARGAAN SEDEMIKIAN SEDANGKAN GURU-GURU DAN PELAJAR-PELAJAR SMK ST JOHN YANG TELAH BERUSAHA KERAS UNTUK MEMENANGI PERTANDINGAN TERSEBUT. MEMANG TELAH DINYATAKAN KEMENANGAN ADALAH BAGI KATEGORI SEKOLAH MENENGAH ATAS...NAMUN INGIN SAYA TEKANKAN DISINI PENGGUNAAN SK ADALAH UNTUK SEKOLAH RENDAH DAN SMK ADALAH UNTUK SEKOLAH MENENGAH. SEKALI LAGI MAAF DIPINTA.