DAKWAAN Bapa Kecewa dalam Forum Utusan Malaysia keluaran 4 Mei 2010 adalah benar. Sememangnya sejak dari dahulu lagi Sekolah Menengah Teknik (SMT) tidak menawarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar aliran kemahiran. Namun, dakwaan untuk menjaga prestasi sekolah supaya tidak jatuh amat saya sangkal sekerasnya. Sekarang ini SMT telah kembali menggunakan nama SM Vokasional atau SMV.
Bapa Kecewa perlu tahu peranan SMV melatih pelajar aliran kemahiran. Dimudahkan cerita, ia serupa sahaja seperti mana-mana pusat bertauliah yang lain di Malaysia. Kita ambil contoh Pusat Giat Mara (pusat bertauliah) juga menawarkan aliran kemahiran kepada pesertanya lepasan PMR pun tidak menawarkan SPM.
Pada pendapat saya, pihak SMV bukannya mahu menafikan hak pelajar aliran kemahiran tetapi pakej yang ditawarkan, kerana dalam SMV ada menawarkan pakej vokasional dan pakej kemahiran. Semasa dalam nama SMT pakej teknik juga ada ditawarkan, namun tidak dapat diteruskan lagi dan kesinambungannya SMT bertukar nama SMV.
Kembali kepada pakej tadi, setiap pakej ada syarat-syarat tertentu seperti kelayakan kemasukan dan disiplin pengajaran dan pembelajarannya. Akibatnya SMV akan menerima pelajar yang boleh dibahagikan kepada tiga golongan.
Golongan pelajar pakej teknik atau aliran teknik terdiri daripada pelajar- pelajar memperolehi keputusan yang baik dalam PMR. Aliran vokasional terdiri dari golongan pelajar yang sederhana dan aliran kemahiran terdiri golongan pelajar yang lemah akademiknya.
Walaupun golongan pelajar kemahiran tidak cemerlang dalam akademiknya namun ia ada keistimewaannya yang tersendiri dan seharusnya jangan diganggu. Maksudnya pelajar ini telah kecewa dalam mempelajari perihal akademik namun pihak SMV menjadi penawar yang mujarab kepada pelajar tersebut untuk meneruskan daya berjuang mencari ilmu dalam bidang kemahiran.
Selama dua kali pelajar ini diuji, pertamanya UPSR dan PMR, namun keputusannya masih tidak memberangsangkan. Dari itu aliran kemahiranlah yang amat sesuai. Jangan ditambah beban mereka dengan perkara yang tidak boleh dicapai. Biarkan ia dengan satu aliran sahaja iaitu kemahiran, buang matapelajaran akademiknya supaya ia lebih fokus. Di sinilah disiplin pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berbeza.
Melalui BPTV, SMV menjalankan konsep School Enterprise (keusahawanan sekolah) iaitu pelajar memasarkan hasil produk mereka mengikut disiplin kursus masing-masing.
Namun campur tangan guru masih diperlukan lagi. Hanya pelajar kemahiran sahaja yang berupaya menyahut cabaran School Enterprise ini kerana masa P&P mereka lebih di bengkel untuk mengasah kemahiran supaya memenuhi kehendak keterampilan pihak Jabatan Kemahiran Kebangsaan atau JPK di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia.
Hanya SMV sahaja yang menawarkan aliran kemahiran kepada lepasan PMR tetapi masih lagi boleh menikmati kemudahan seperti pelajar di sekolah lain. Contohnya untuk mempelajari kimpalan arka tahap 1 di luar SMV, dah tentu pelajar ini perlukan belanja yang besar untuk membayar yuran tetapi tidak di SMV semuanya percuma hanya bayar yuran sekolah RM40. Yuran pendaftaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebanyak RM100 akan ditanggung oleh Bahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional (BPTV ) hasil keputusan baru- baru ini.
Memang tidak ada perangkaan mengatakan ada hubungan pelajar yang lemah dalam akademik meminati kemahiran. Namun boleh dilihat pencapaian hasil produk SMV dari aliran kemahiran. Rata-rata lepasan dari situ yang berjaya meneruskan sebagai pekerja mahir atau spara mahir di sektor-sektor swasta.
Maklumat dan data yang lengkap boleh diperoleh melalui BPTV atau SMV berdekatan. Banyak lagi perkara tentang Sekolah Menengah Vokasional yang Bapa Kecewa tidak ketahui malah masyarakat umum pun begitu juga. Jadi pergilah ke SMV untuk bertanya perihal SMV berserta hasil produk mereka.
cikgu vokey
Machang, Kelantan
Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan