Sabtu, 26 Jun 2010

Nilai semula UPSR dan PMR

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah mengundang reaksi pelbagai pihak. Ramai yang bersetuju, tidak kurang pula yang menentang. Sebabnya bermacam-macam.

Bagi yang bersetuju, mengelakkan sistem pendidikan negara kita daripada terlalu berorientasikan peperiksaan adalah sebab paling utama. Perkara ini telah dibangkitkan oleh banyak pihak dalam pelbagai forum dan pengumuman Muhyiddin dikira tepat pada masanya.

Bagi yang tidak bersetuju pula, bermacam hujah diutarakan. Antaranya, bagaimana pencapaian murid hendak dinilai secara standard sekiranya kedua-dua peperiksaan awam ini dihapuskan? Apakah langkah ini akan mengurangkan motivasi murid untuk belajar?

Bagaimana pula hendak menentukan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh? Apakah ini bermaksud kerajaan mahu menghapuskan sekolah berasrama penuh pula selepas ini? Juga, bagaimana hendak menentukan ranking Sekolah Berprestasi Tinggi sekiranya peperiksaan UPSR dimansuhkan?

Semua persoalan ini timbul gara-gara cadangan radikal yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan sedang menimbang pemansuhan kedua-dua peperiksaan awam ini secara serius, bukan sekadar cakap-cakap sahaja.

Saya sendiri merasakan sudah sampai masanya kita menilai kembali sistem peperiksaan yang diamalkan di negara kita sekarang. Ini untuk memastikan sistem peperiksaan kita sentiasa relevan dengan tuntutan semasa dan dapat memenuhi keperluan masa depan.

Misalnya, negara kita memerlukan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu ekonomi berpendapatan tinggi, sejajar dengan tuntutan Model Baru Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Soalan yang perlu ditanya ialah apakah peperiksaan UPSR dan PMR yang diamalkan sekarang dapat menguji dan merangsang dengan berkesan keupayaan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif?

Atau apakah kedua-dua peperiksaan ini hanya menggalakkan pembelajaran secara hafalan, atau rote learning, dan meminggirkan aspek kreativiti dan inovasi?

Keupayaan kedua-dua peperiksaan UPSR dan PMR untuk menguji daya kreativiti dan inovasi murid adalah amat terhad. Misalnya, soalan berbentuk objektif atau pelbagai pilihan (multiple choice) yang terdapat dalam kedua-dua peperiksaan ini lebih cenderung untuk menguji daya ingatan murid, bukan keupayaan mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.

Bentuk peperiksaan ini juga mengehadkan skop pembelajaran murid kepada apa yang diajar oleh guru dalam bilik darjah. Ruang untuk murid berfikir di luar kotak, berfikir secara kreatif dan inovatif, adalah amat sedikit apatah lagi untuk menyerlahkan bakat terpendam mereka.

Ada beberapa kaedah lain yang boleh menguji daya kreativiti murid secara lebih berkesan. Antaranya ialah penilaian berbentuk penyelesaian masalah dan berasaskan projek.

Melalui kedua-dua kaedah ini, murid berpeluang untuk menyerlahkan keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif dalam merungkai permasalahan atau menyiapkan projek yang diberikan oleh guru.

Guru-guru boleh mengenal pasti kecenderungan dan tahap kreativiti murid berdasarkan penilaian yang dibuat secara individu.

Kedua-dua kaedah penilaian ini lebih berkesan untuk mengenal pasti daya kreativiti murid berbanding dengan peperiksaan konvensional yang lebih menekankan daya hafalan. Penilaian berteraskan kreativiti ini boleh dibuat di sepanjang proses pembelajaran, bukannya di akhir proses pembelajaran sebagaimana lazimnya dalam sistem peperiksaan konvensional. Guru kemudiannya boleh mengenal pasti kaedah pembelajaran yang lebih berkesan untuk setiap murid berdasarkan kecenderungan dan kemampuan mereka hasil penilaian yang dibuat secara individu.

Penilaian berteraskan daya kreativiti tidak dapat diberikan tumpuan sewajarnya di sekolah-sekolah pada masa ini kerana penekanan yang berlebihan terhadap peperiksaan konvensional. Pengajaran dan pembelajaran di sekolah pula lebih tertumpu kepada usaha mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

Sekiranya kerajaan memansuhkan UPSR dan PMR serta menggantikan kedua-dua peperiksaan ini dengan kaedah penilaian yang dapat menguji aspek kreativiti dan ingatan murid secara seimbang, sudah tentu akan berlaku satu bentuk revolusi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pembelajaran dalam bilik darjah akan lebih menjurus kepada proses perbincangan dan percambahan fikiran yang interaktif dan menyeronokkan.

Guru-guru juga akan lebih kreatif dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Mereka tidak perlu lagi terlalu terikat dengan kandungan buku teks dan rancangan mengajar yang ketat.

Guru-guru sebaliknya boleh menggunakan kaedah dan bahan mengajar yang sesuai. Proses pembelajaran tidak lagi kaku dan membosankan, tetapi lebih ceria.

Murid juga lebih bebas meluahkan perasaan, menyatakan fikiran dan menyerlahkan bakat semula jadi mereka. Konsep pendidikan berteraskan murid akan menjadi kenyataan, bukan sekadar retorik.

Malah, guru juga akan memiliki autonomi profesional yang sebenar, iaitu kebebasan untuk merancang dan melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan dengan suasana lingkungan.

Bukankah ini bentuk persekolahan yang kita idamkan untuk anak-anak kita? Ibu bapa tidak perlu lagi berlumba-lumba untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh atau sekolah berprestasi tinggi, kerana setiap sekolah adalah sekolah cemerlang.

Proses pembelajaran yang disebutkan ini sebahagiannya sudahpun berlaku di sekolah kita. Tetapi selagi mana sistem peperiksaan kita tidak memberikan tumpuan kepada aspek penting ini, selagi itulah kita gagal untuk memperkasa dimensi daya fikir yang kreatif dan inovatif dalam sistem pendidikan kita.

Untuk itu, saranan supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Bagi saya, ia amat berkait dengan hasrat untuk merevolusi sistem pendidikan negara. Kita perlu melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif melalui sistem pendidikan kita.

Justeru, sudah sampai masanya sistem peperiksaan di negara kita digantikan dengan satu sistem penilaian yang dapat mengukur daya kreativiti dan inovasi murid secara seimbang.

Jika kita ingin mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi sebuah masyarakat dan negara maju, maka kita mesti berani melakukan perubahan dan menerima perubahan.

Paling penting adalah perubahan dalam sistem pendidikan yang akan memacu perubahan dalam ekonomi, masyarakat dan negara. Sementara itu, kita sendiri perlu terlebih dahulu mengubah cara kita berfikir.

Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya sudah berada di sekolah sebagai guru lebih kurang 24 tahun, iaitu 12 di sekolah rendah dan 12 tahun di sekolah menengah.Dalam tempoh 24 tahun itu banyak perubahan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan tidak kurang juga pengalaman saya terhadap kesan dari perubahan itu ke atas pelajar.
Antara kesan yang saya lihat ialah apabila peperiksaan Darjah Enam dimansuhkan dan digantikan dengan penilaian UPSR maka lahirlah kumpulan pelajar yang naik ke tingkatan satu yang tidak tahu membaca,menulis dan mengira. Ini disebabkan semua pelajar yang tamat Tahun Enam layak naik ke Tingkatan Satu. Masalah pelajar Tahun Enam disambut oleh guru-guru Tingkatan Satu dengan rasa kecewa kerana 6 tahun di sekolah rendah membaca pun pelajar tahun enam tidak menguasai.Tetapi bukan semua murid begitu, ramai juga yang boleh membaca. Jika dibandingkan dengan pelajar yang naik ke tingfkatan Satu tahun 70an dan awal 80an, tiada seorang pun pelajar yang naik ke tingkatan satu yang tidak pandai membaca, mengira dan menulis.
Begitu juga keadaan sama berlaku apabila SRP digantikan dengan PMR. Sebelum perubahan sistem peperiksaan tidak ada seorang pun pelajar tingkatan empat yang tidak menguasai 3M.Pelajar yang naik ke tingkatan empat amat berbeza dengan pelajar di menengah rendah dari segi sikap dan keupayaan mereka. Rata-rata pelajar matang dari segi cara belajar, kepimpinan, sahsiah dan tahap pengetahuan.Tetapi apabila PMR diperkenalkan di sekolah menengah kematangan,sikap, sahsiah dan tahap kualiti pelajar menguasai 3M agak menurun.Timbullah pelajar yang tidak boleh membaca,mengira dan menulis walau pun mereka sudah berada ditingkatan empat.
Guru-guru sekolah menengah menjadi pening kerana tugas guru apabila di sekolah menengah sepatutnya bukan lagi mengajar murid pandai membaca, menulis dan mengira.Sepatutnya tempoh enam tahun di sekolah rendah sudah lebih dari cukup untuk pelajar belajar menguasai 3M. Guru-guru sekolah menengah sepatutnya memperkenalkan kemahiran-kemahiran,rumus-rumus, dan subjek baru kepada pelajar. tetapi apa yang sepatutnya dilakukan tidak dapat dilaksanakan kerana guru tingkatan satu terpakasa mengajar semula sebutan huruf vokal dan konsonan kepada pelajar baru.
Jadi inilah persoalan yang harus diselesaikan dahulu sebelum UPSR dan PMR dimansuhkan.Pelajar-pelajar tidak boleh lari daripada menghadapi peperiksaan keseluruhan. Kalau tidak ada peperiksaan kebangsaan bagaimana pelajar diagihkan dan ditempatkan di sekolah-sekolah tertentu. Bagaimana sesebuah sekolah itu dinilai prestasinya kalau tidak diadakan sistem peperiksaan yang sama. Tidak adillah kalau pihak KPM terus meminta sekolah mencadangkan beberapa pelajar di sesebuah sekolah untuk dihantar terus ke Sekolah Berasrama Penuh kerana mungkin ada pelajar di sekolah lain yang lebih baik.
Kesimpulannya, saya tetap mahu mengekalkan sistem yang ada sekarang malah kalau boleh pelajar-pelajar yang naik ke tingkatan empat hanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang lulus penuh manakala bagi mereka yang gagal PMR hantarlah mereka ke sekolah-sekolah vokasional. Dan, saya juga mencadangkan supaya semua pelajar yang naik ke tingkatan satu hendaklah seratus peratus menguasai 3M. Mereka yang gagal diminta mengulang di Tahun Enam. Perkara ini baik untuk memberi kesedaran kepada semua pelajar bahawa mereka harus benar-benar menguasai 3M, kualiti harus dikekalkan kalau tidak pelajar belajar hanya suka-suka sahaja kerana mereka berpendapat kalau belajar berhabis-habisan pun sama juga dengan pelajar lain yang langsung tidak belajar iaitu diakhir tahun dan masuk ke tahun baru semuanya naik ke tingkatan satu atau semuanya naik ke tingkatan empat.