Di dalam pekeliling itu dinyatakan dengan jelas mengenai ‘Peraturan (42) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh... (h) membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awam, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain.”
Dalam pekeliling itu juga dinyatakan keputusan mesyuarat yang diadakan pada 3 Jun lalu yang memutuskan bahawa mana-mana PPPS, PPPLD dan AKS yang berkhidmat di kementerian boleh dikenakan tindakan prosiding tatatertib jika menggunakan pengaruh luar untuk tujuan di atas.
Bagi saya, usaha ini adalah satu langkah bijak bagi membendung amalan kronisme dan nepotisme seterusnya menghalang kakitangan yang tidak layak dan tidak berkemampuan menjawat jawatan tertentu di kementerian. Pegawai yang kurang pengalaman dan tiada kredibiliti hanya melemahkan sistem penyampaian kerajaan serta boleh merosakkan imej perkhidmatan awam.
Namun persoalan timbul, bagaimana pula dengan tindakan terhadap anggota perkhidmatan awam atas desakan luar seperti menyingkirkan pengetua, guru dan kakitangan lain dari sekolah atau mana-mana agensi di kementerian.
Sudah menjadi satu tren apabila ada di kalangan Persatuan Alumni Sekolah, PIBG dan orang perseorangan menggunakan pengaruh tertentu dan memberi tekanan terhadap pegawai tinggi di kementerian menyingkirkan mereka yang tidak digemari, terutama di sekolah.
Sepatutnya pihak kementerian tidak boleh tunduk atau melayan desakan pihak tertentu yang ingin menyingkir dan menukarkan guru yang sedang berkhidmat tanpa kerelaan mereka. Adalah tidak adil bagi seseorang PPPLS, PPPLD atau AKS dikenakan tindakan prosiding tatatertib kerana menggunakan pengaruh luar untuk naik pangkat, tetapi pegawai yang tunduk kepada desakan menyingkirkan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan.
Adalah malang seorang pegawai tinggi di kementerian menurut kehendak kumpulan atau individu tertentu dalam menukarkan atau menyingkirkan seseorang pegawai bawahannya hanya kerana mengikut telunjuk kumpulan berkenaan.
Saya berharap pihak Kementerian Pelajaran dan Kesatuan Guru dapat memberi perhatian kepada perkara ini demi kebaikan dan kebajikan PPPLS, PPPLD dan AKS.
GURU TERSINGKIR,
Gopeng, Perak.
Berita Harian Online: 1 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan