Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
PERSEKITARAN sekolah yang kondusif memberi keselesaan kepada pelajar mengikuti pelajaran. |
SMT Shah Alam tingkat usaha untuk kekalkan kecemerlangan
WALAUPUN visi Sekolah Menengah Teknik Shah Alam (SMTSA) menjadi sekolah teknik gemilang 2010 sudah tercapai menerusi Anugerah Sekolah Cemerlang (kategori sekolah teknik) yang diperoleh baru-baru ini, namun institusi itu terus mengorak langkah untuk tergolong antara 100 sekolah berprestasi tinggi.
Pengetuanya, Fuzyah Abdullah, berkata penarafan itu akan diumumkan tahun depan dan ia perkara yang menjadi impian semua sekolah di negara ini kerana penilaiannya sangat menitikberatkan prestasi cemerlang.
Katanya, gelaran sekolah Kluster juga bukan jaminan untuk tergolong dalam kelompok itu dan bagi mencapainya pelbagai usaha dijalankan SMTSA termasuk memperkasa aliran vokasional dengan meningkatkan kecemerlangannya.
“Selain menambah baik kursus vokasional sedia ada seperti Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan Fabrikasi Logam dan Pengaturcaraan Komputer, kami juga berhasrat meningkatkan jumlah kursus iaitu Multimedia Kreatif serta Sistem Sokongan Komputer dan Rangkaian.
“Pengambilan pelajar juga akan ditambah dari 877 ketika ini membabitkan tiga aliran (teknik, vokasional dan kemahiran) menjadi 1,700 tahun depan bertujuan melahirkan ramai modal insan berkemahiran tinggi seperti dilakukan Jepun dan Singapura.
KEMESRAAN ditunjukkan guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran membantu meningkatkan motivasi pelajar. |
“Enrolmen ini juga terkandung dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pelajaran untuk Rancangan Malaysia Ke-10, jadi kami sedang menyusun perancangan bagi meningkatkan lagi kecemerlangan sedia ada,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau yang juga penerima Anugerah Pengetua Cemerlang, berkata kejayaan yang terhasil sejak 16 tahun lalu berpunca daripada kerjasama erat antara guru, kakitangan sekolah dan pelajar serta sokongan pihak luar yang membantu membangunkan prestasi sekolah itu.
“Contohnya, penyertaan dalam Seminar Skor A SPM anjuran Berita Harian dan Management & Science University (MSU) yang disertai sejak tiga tahun banyak membantu pelajar mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan umum itu.
“Malah, suntikan kewangan daripada Yayasan Proton Holdings yang juga menjadikannya sebagai sekolah angkatnya sejak dua tahun lalu membantu kemajuan akademik menerusi program tuisyen bestari, selain mendapat sokongan pihak industri di sekitar sekolah yang terletak di kawasan perindustrian.
Fuzyah Abdullah |
“Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan keputusan memberangsangkan iaitu dengan tahap kelulusan keseluruhan 99.3 peratus (2006), 99.14 peratus (2007) dan 99.57 peratus tahun lalu,” katanya.
Fuzyah berkata, antara perkara membanggakan di sekolah diterajuinya sejak empat tahun lalu adalah kemenjadian pelajar kerana ia dapat dilihat melalui perbezaan pencapaian pelajar daripada keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan SPM.
“Jika mereka hanya mendapat 2A ketika PMR, selepas belajar di sini rata-rata pelajar kami mampu memperoleh 4 hingga 5 A dalam SPM, sekali gus membantu SMTSA menduduki tempat kedua Anugerah Sekolah Harapan Negara 2007 (peringkat kebangsaan) dan johan anugerah sama setahun sebelum itu di peringkat negeri.
“Penyertaan mereka dalam bidang kokurikulum juga membanggakan sehingga berjaya melonjak nama sekolah itu hingga ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa seperti penyertaan Kelab Rekacipta di Pertandingan & Inovasi (antarabangsa) dan Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa tahun lalu.
“SMTSA juga pernah muncul juara ragbi pada Kejohanan Antara Teknik (2008) dan ketiga dalam pertandingan reka cipta anjuran Universiti Malaysia Perlis (2008), naib johan silat (2007 dan 2008), johan pesta pantun dan Perkhemahan Kadet Bomba & Penyelamat Malaysia peringkat negeri (2009),” katanya.
Berita Harian Online: 30 September 2009
1 ulasan:
apa sudah jadi?
tanya aku pada diri sendiri. terasa muak dan bosan. ini semua setelah mendengar dan membaca berita semasa yang berkaitan dengan sekolah berprestasi tinggi. dengar cerita ada pula sesetengah sekolah yang merasa tidak patut dan adalah tidak adil dan merasakan sekolah mereka dipinggirkan. semua adalah kerana tidak terpilih menjadi sekolah berprestasi tinggi [SBT].
ini semua lebih kepada hasad. berbaur dengki. kita tidak boleh berfikiran sebegitu rupa. tidak boleh diterima sama sekali. perkara pertama yang sepatutnya berpucuk dan terdetik adalah perasaan persaingan dan ingin bersaing untuk menjadi lebih bagus. bukannya dengki.
apa akan jadi jika perasaan negatif sebegini boleh dibiarkan menular di sekitar dan jika dibiarkan akan menular di dalam institusi ilmu dan pendidikan negara kita ini?
lebih lebih lagi jika diperingkat awal seperti di sekolah rendah dan menengah. sekolah yang tidak terpilih untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi tidak patut dan tidak boleh berasa marah, terpinggir atau lebih teruk lagi, iri hati dan dengki. tenaga pengajar hendaklah mengikis perasaan sedemikian sama sekali. apa yang perlu ialah memupuk dan menanam sifat dan sikap untuk mencapai prestasi sebaik ataupun melebihi prestasi dan pencapaian sekolah sekolah yang terpilih.
adalah wajar jika dikatakan yang sekolah sekolah yang telah terpilih ini memang telah berusaha sebaik mungkin selama ini dan amat berhak untuk diberi peluang mendapat pengiktirafan. wajar untuk mendapat segala macam kemudahan dan kelebihan yang ditawarkan untuk pengiktirafan sedemikian.
perkara yang penting di dalam konteks perbincangan ini ialah untuk melahirkan generasi masa depan yang bagus bagus belaka. sifat diabaikan, iri hati dan dengki mestilah tidak diberi langsung ruang untuk bertapak, apatah lagi untuk menjadi tanggapan asas di dalam institusi pelajaran anak anak kita.
hanya sifat dan perasaan ingin dan perlu bersaing untuk mendapat tempat yang lebih baik yang perlu dipupuk dan diajar oleh para pendidik kepada anak didik.
jika semangat persaingan sihat dapat ditanam, nescaya segala penyakit dan jurang sosial yang ada sekarang ini dapat dirapatkan atau dijadikan lebih baik dimasa hadapan. kita perlu berjaya dalam menyampaikan mesej ini dengan berkesan.
kata mindabudaya
Catat Ulasan