Selasa, 6 Oktober 2009

Rebutlah peluang pendidikan

PORT DICKSON 5 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah berkompromi dalam soal memberi pendidikan terbaik kepada rakyat kerana ia merupakan senjata paling berkesan bagi melahirkan masyarakat berilmu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara ini, rakyat khususnya golongan muda dapat merencana masa depan dengan lebih baik terutama dalam menentukan kerjaya masing-masing.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap pelajar mengambil kesempatan sepenuhnya semasa berada di alam persekolahan dengan mempelajari setiap ilmu yang diajar supaya mereka lebih berjaya pada masa akan datang.

''Komitmen kerajaan dalam memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak dibuat secara menyeluruh kerana kita tidak mahu ada di kalangan pelajar kita ketinggalan.

''Pendidikan adalah satu perkara yang amat penting dalam hidup kita dan atas asas itu kerajaan tidak pernah mengabaikan bidang ini kerana kita tahu ia adalah satu-satunya senjata untuk mengubah nasib seseorang," katanya.

Beliau berucap pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah menengah daerah Port Dickson di sini malam ini ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Dalam pada itu Muhyiddin turut menasihatkan para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh supaya mereka berjaya pada masa akan datang.

''Saya harap anak-anak terutama yang mengambil peperiksaan supaya tidak leka dengan pengaruh luar tetapi terus memberi perhatian kepada pelajaran supaya berjaya dalam setiap peperiksaan yang diambil," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada para pelajar supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang bersifat negatif kerana akibatnya amat buruk.

''Sebagai contoh bidang teknologi maklumat atau dengan kata lain Internet. Teknologi ini mendatangkan kebaikan namun begitu ia juga boleh disalah guna hingga menyebabkan kesan negatif kepada pelajar-pelajar," tambahnya.

Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2009

Tiada ulasan: