GEMENCHEH – Keprihatinan ibu bapa dan barisan warga Maahad Ahmadi terhadap generasi muda dalam soal pembelajaran penting supaya golongan berkenaan menyedari pelajaran dapat membentuk menjadi individu berguna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Menyedari kepentingan berkenaan, warga pentadbiran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Ahmadi menganjurkan program bacaan Yasin untuk pelajar institusi terbabit yang bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
:Program dianjurkan sempena penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2009 itu dihadiri hampir 1,000 jemputan merangkumi ibu bapa, barisan tenaga pengajar, pelajar dan warga pentadbiran Maahad Ahmadi bersama mengalunkan bacaan Yasin dan melakukan Solat Hajat secara bersama.
:Pengetuanya, Abdul Rahim Ma’amor berkata, program tahunan itu dijalankan untuk pelajar Maahad Ahmadi yang bakal menduduki peperiksaan sekali gus berdoa kecemerlangan akademik golongan terbabit dan sekolah.
Menurutnya, penganjuran program itu diharap dapat memberi ketenangan dan memudahkan pelajar menjawab peperiksaan seterusnya mendapat keputusan cemerlang, selain bersama menikmati juadah hari raya.
“Ini adalah usaha pihak pentadbiran sekolah dan PIBG untuk memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak supaya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tahu bahawa kami sentiasa mengambil berat soal pelajaran dan semua aspek kehidupan anak,” katanya.
Abdul Rahim berkata, penganjuran majlis bacaan Yasin itu bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar serta warga pentadbiran Maahad Ahmadi, walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
“Semangat ditunjukkan ini baik dan wajar diteruskan pada masa akan datang kerana banyak manfaat diperoleh melalui majlis berkenaan.
“Saya harap masa diluangkan pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar dan warga pentadbiran Maahad Ahmadi mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.
Sinar Harian: 5 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan