|
|
PUTRAJAYA 7 Okt. - Seramai 475,182 orang calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 3,496 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini tanpa seorang pun mempunyai gejala selesema babi atau influenza A (H1N1).
Daripada jumlah itu, seramai 442,611 pelajar membabitkan calon dari sekolah di bawah Kementerian Pelajaran manakala 13,561 adalah calon swasta.
Selebihnya adalah calon sekolah agama negeri (13,234); Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah perantis tentera (4,150); sekolah agama rakyat (1,288) dan persendirian (338).
Peperiksaan selama lima hari itu dijalankan sehingga Jumaat ini dan kemudian disambung pada 12 dan 13 Oktober ini.
Seramai 28,028 orang petugas bertanggungjawab mengendalikan perjalanan peperiksaan tersebut.
Kesemua calon PMR pagi ini menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki dewan peperiksaan sebagai langkah mengelak penularan wabak H1N1.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa meninjau perjalanan peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) di sini sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata, perjalanan peperiksaan tersebut berjalan lancar meskipun terdapat kebimbangan tentang wabak H1N1.
Katanya, setakat ini tiada calon PMR mempunyai gejala penyakit itu.
''Kebimbangan tentang wabak H1N1 tidak ketara dan semuanya dalam keadaan terkawal. Bagaimanapun langkah berjaga-jaga tetap diteruskan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan tersebut.
Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Pada sidang akhbar yang sama, Muhyiddin turut mengumumkan Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah mengambil Cuti Peristiwa pada 20 Oktober ini sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 17 Oktober ini.
Menurutnya, sekolah yang telah kehabisan Cuti Peristiwa dibenarkan mengambil cuti itu yang harus diganti semula pada 31 Oktober ini.
''Keputusan tersebut diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga untuk bercuti di kampung masing-masing untuk mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya.
Utusan Malaysia Online: 8 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan