KOTA BHARU 7 Okt. - Seramai 12 pelajar antara 37,131 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini yang bermula hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di tujuh hospital.
Lima daripada mereka dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), setiap seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tanah Merah, Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai, Pusat Perubatan Kota Bharu dan dua di Hospital Pakar Perdana.
Kebanyakan mereka yang merupakan mangsa kemalangan jalan raya yakin keadaan mereka tidak menjejaskan pencapaian dalam peperiksaan itu kelak.
Dua pelajar yang ditemui di HUSM yakin mereka akan mendapat keputusan yang baik walaupun terpaksa mengambil peperiksaan itu di hospital berkenaan.
Mohd. Noor Alif Abdul Manan, 15, berkata, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Jun lalu dan akibatnya patah paha kiri dan terpaksa mendapat rawatan di hospital sehingga sekarang.
Katanya, tetapi dia bernasib baik kerana mempunyai keluarga yang prihatin dengan keperluannya dengan membawa buku dan soalan peperiksaan.
"Saya belajar dan mengulangkaji di wad kerana ingin mengambil peperiksaan PMR tahun ini," kata pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail itu.
Dia yakin mendapat keputusan cemerlang kerana telah membuat persiapan di samping kemudahan yang diperoleh untuk mengambil peperiksaan di hospital itu.
Abdullah Helmi Shahimin, 15, berkata, walaupun cedera di tangan akibat terkena mesin kayu pada Sabtu lalu, dia bernasib baik kerana dapat menduduki peperiksaan tersebut.
Katanya, pada mulanya dia bimbang tidak dapat menduduki peperiksaan PMR tahun ini akibat kecederaan dialaminya.
"Tetapi dengan rawatan yang diterima, saya mampu menulis bagi menjawab soalan peperiksaan itu," katanya.
Selain itu, tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab I di sini mendapati persiapan rapi diberikan kepada 253 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.
Penolong Kanan Kokurikulum, Zamari Abdul Wahab berkata, semua pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki dewan peperiksaan, sebagai langkah mengawasi penularan selesema babi (H1N1).
Katanya, jika ada calon yang mengalami demam mereka akan diasingkan di bilik khas.
Utusan Malaysia Online: 8 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan