Selasa, 4 Mei 2010

Murid terkejut ditampar guru

JOHOR BAHRU: “Saya terkejut tiba-tiba guru muzik menampar saya berulang kali hingga mengakibatkan tudung yang dipakai tercabut,” kata murid tahun empat di sebuah sekolah di Pandan, Farah Suraya Fariq Rizal, 10, yang menanggung kesakitan akibat tisu pipi kiri terkoyak selepas ditampar guru berkenaan.

Farah berkata, kejadian berlaku selepas ibu saudaranya mengadu sikap buruk guru lelaki terbabit kepada pengurusan sekolah kerana gemar menyindir mangsa ketika sesi pembelajaran di kelas.


Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka perasaan dendam guru berkenaan bakal menimbulkan masalah serius kepadanya apabila tergamak menamparnya tanpa alasan pada kira-kira jam 12 tengah hari 23 April lalu.


“Saya dan rakan seperti biasa mengikuti kelas muzik yang dikendalikan guru itu sebelum diminta berdiri.


“Tiba-tiba dia menjadi marah dan menampar muka saya berkali-kali dengan pantas di depan rakan sekelas hingga tudung saya tercabut dan jatuh ke bawah,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Amar di sini, baru-baru ini. Ibu mangsa, Hartini Abdul Ghani, 30, berkata keluarganya bimbang kerana kejadian itu yang kedua di mana guru lelaki dalam lingkungan usia 40-an itu pernah mengasari anaknya pertengahan Januari lalu.


Menurutnya, pada kejadian pertama, guru berkenaan menggunakan pembaris panjang kayu untuk memukul anaknya di bahagian lengan tangan hingga mengakibatkan kesan lebam dan kesakitan selama hampir seminggu.


Katanya, anaknya dipukul guru berkenaan kerana ketawa di dalam kelas dan dianggap mengganggu sesi pembelajaran.


“Guru itu gemar menyindir anak saya kononnya suka mengadu pada keluarga hingga perbuatannya memberi tekanan pada Farah.


“Bagaimanapun, kami tidak menyangka guru itu bertindak melampaui batas apabila menampar anak hingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada malam kejadian kerana terlalu sakit.

“Hasil pemeriksaan doktor, pipi kirinya disahkan terdapat kesan koyak membuktikan dia ditampar dengan teruk,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Majidee di sini, 26 April lalu.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada keluarga murid berkenaan dan keluarga berkenaan boleh mengunjungi Pejabat Pelajaran.

myMetro: 4 Mei 2010

2 ulasan:

pemerhati guru2 berkata...

APA PUNYA CIKGU!
BAGUS KO LETAK JAWATAN LA...
ATAUPUN BAIK JUMPA PAKAR KAUNSELING ATAU PALING HEBAT MASUK KELAS PEMULIHAN..CUCI OTAK TU.. FIKIR DULU SEBELUM MAHU KENAKAN ANAK ORANG! GAJI JER BESAR TAPI OTAK KECIL...

guru lama berkata...

pemerhati guru2:Anda harus menyelidik apa dan mengapa. Kadang kala, berita sebegini tidak tepat. Namun, Jika betul begini,tindakan harus dikenakan ke atas guru ini.