Difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran akan membentangkan kajian berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Kabinet, Rabu ini.
Apakah PPSMI akan diteruskan atau dihentikan? Inilah yang menjadi tanda tanya pelbagai pihak terutama kalangan ibu bapa dan guru-guru lebih-lebih lagi perdebatan dan kemelut mengenainya sudah lama diperkatakan.
Banyak sesi lempas otak, analisis dan pengumpulan maklum balas daripada semua golongan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran berhubung pencapaian dan hala tuju PPSMI, yang dilaksanakan pada tahun 2003.
Reaksinya banyak pihak membantah dan ada juga yang menyokong pelaksanaan tersebut dengan hujah masing-masing.
Inilah antara cabaran awal Muhyiddin sejak mengambilalih teraju Kementerian Pelajaran dan isu itu kembali ketara diperkatakan terutama dari segi kekangan, kelemahan, cabaran dan realiti. Walaupun isu PPSMI dilihat begitu kompleks dan kusut, beliau sudah bersedia membereskannya.
Malah Muhyiddin kelihatan yakin untuk mencari formula baru sebagai jalan keluar yang akhirnya dapat memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Awang percaya kerajaan akan mengambil kesempatan kajian semula itu untuk melakukan transformasi meliputi penambahbaikan yang signifikan.
Apa reaksi yang mungkin dijangkakan? Sudah tentu apa sahaja keputusan Kabinet berdasarkan cadangan Kementerian Pelajaran akan mengundang gelombang reaksi yang bukan kecil sama ada yang menyokong mahupun yang membantah.
Berdasarkan sumber-sumber yang menjalankan kajian tersebut, lebih banyak pihak mahu PPSMI dirombak kerana pelaksanaannya tidak mencapai matlamat yang disasarkan, kekurangan guru terlatih yang cukup kritikal dan pencapaian para pelajar luar bandar yang terus keciciran dalam subjek Matematik dan Sains.
Apakah ini bermakna Kementerian Pelajaran akan menghentikan PPSMI dan menampilkan pakej atau model baru yang lebih baik?
Awang tidak pasti, sama-samalah kita tunggu pengumumannya nanti. Apa pun, keputusan perlu dibuat dengan semua pihak seharusnya bersikap realistik.
Utusan Malaysia Online: 5 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan