Ahad, 5 Julai 2009

Pelajar perempuan dakwa dipukul hingga pengsan oleh guru

SHAH ALAM 4 Julai - Hanya kerana mentertawakan guru lelakinya, pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Kampung Jawa, Klang, dekat sini, pengsan setelah mendakwa ditampar dan ditendang oleh gurunya itu.

Mangsa, A. Logavani, 16, turut mendakwa kepalanya dihentak ke dinding sementara lehernya dicekik oleh guru berusia 30-an berkenaan yang hanya merupakan guru gantian kelas bahasa Inggeris.

Kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi, Rabu lalu, mengakibatkan mangsa pengsan di dalam kelas dan sekali lagi di rumah sebelum dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Berikutan itu, bapa mangsa, T. Arivalagam, 50, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, kelmarin.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, anaknya mengalami bengkak di bahagian muka dan kepala serta kesakitan dalaman di bawah perut akibat ditendang.

"Anak saya diperlakukan sedemikian dipercayai setelah mentertawakan gaya guru lelaki itu ketika marahkannya dan pelajar-pelajar lain di dalam kelas kerana menjawab.

"Oleh kerana anak saya paling hampir, dia yang menjadi mangsa dan dipukul teruk.

"Ketika dipukul anak saya menjerit-jerit meminta tolong tetapi tidak dipedulikan. Ia berlarutan sehinggalah seorang guru lain datang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 4, Kampung Jawa di sini hari ini.

Menurut bapa kepada lima anak itu, dia boleh menerima kenyataan yang anaknya dihukum jika melakukan kesalahan tetapi bukan dengan cara sedemikian.

Beliau mendakwa, tindakan guru itu memukul anaknya seperti gangster tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi anaknya seorang perempuan.

"Paling dikesalkan, saya dapat tahu kejadian itu daripada kakak mangsa dan rakan sekelas anak saya serta bukannya pihak sekolah," ujar beliau.

Beliau berkata, , dia yang bergegas ke sekolah menemui anaknya di bilik kaunseling dalam keadaan trauma, sakit dan mengalami bengkak di muka.

"Pihak sekolah meminta maaf tetapi saya ingin berjumpa sendiri guru yang memukul anak saya itu dan mendengar penjelasannya tetapi guru lelaki itu enggan.

"Saya kemudian membuat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan dan supaya guru itu tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar," katanya.

Tambahnya, anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dalam keadaan trauma dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan mangsa dan berjumpa pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat.

Utusan Malaysia Online: 5 Julai 2009

1 ulasan:

is berkata...

Guru sekarang hanya mengikut emosi dan melakukan sesuatu perkara di luar batasan, adakah ini yang dikatakan standard guru Malaysia?