Oleh Khairina Yasin
PELAKSANAAN program j-QAF mensasarkan murid mampu menguasai tulisan dan bacaan jawi, khatam al-Quran, menguasai asas bahasa Arab, memantap dan menghayati amalan fardu ain. |
Makin ramai murid mampu kuasai jawi, baca al-Quran dan asas bahasa Arab
PELAKSANAAN program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di sekolah rendah sejak 2005 menjadi iltizam kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan sistem pendidikan Islam sesuai dengan keperluan hari ini.
Dicetuskan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, program itu membuktikan kesungguhan kerajaan melahirkan modal insan serba boleh dan mahir dalam empat perkara asas dalam pendidikan Islam iaitu membaca al-Quran, tulisan jawi, bahasa Arab dan fardu ain.
Mengguna pakai empat model pengajaran dan satu model kokurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran j-QAF mensasarkan murid mampu menguasai bacaan dan tulisan jawi, khatam al-Quran, menguasai asas bahasa Arab dan memantap dan menghayati amalan fardu ain.
Pelaksanaan program j-QAF sudah menampakkan kejayaan ketara apabila semakin ramai murid mahir menulis dalam jawi menerusi konsep pengajaran pemulihan jawi lebih menarik menggunakan kaedah inovasi pembelajaran seperti permainan, lagu dan multimedia.
Harapan Kementerian Pelajaran agar tiada lagi masalah buta jawi kalangan murid sekolah diyakini mampu dicapai dengan pelaksanaan dan kerjasama yang baik semua pihak.
Begitu juga perkembangan bacaan al-Quran menerusi Model Enam Bulan Khatam al-Quran yang menekankan kaedah pengajaran Iqra dan instrumen latih tubi tasmik.
Sesi tasmik memberi peluang kepada guru melakukan pemantauan terhadap perkembangan murid dalam bacaan al-Quran menerusi sesi penilaian yang direkodkan sekali gus berjaya membantu murid mempelajari al-Quran dengan lebih bersistematik.
Selain itu, penguasaan asas bahasa Arab dalam kalangan murid pula semakin menyerlah apabila mereka berupaya menyebut pelbagai perkataan dalam bahasa Arab, berbanding rakan sebaya mereka yang tidak mengikuti program j-QAF sebelum ini.
Jelas pengisian Model Penguasaan Bahasa Arab dalam program j-QAF berjaya memupuk minat serta kesungguhan murid mendalami ilmu bahasa Arab, selain diharap mampu mengamalkannya dalam komunikasi seharian, kelak.
Usaha memperkasa pengajaran fardu ain melalui program j-QAF juga nyata memberikan impak amat baik terhadap soal ibadah dalam kalangan kanak-kanak.
Pengajaran amali solat misalnya yang diselang-selikan dengan pelaksanaan Kem Bestari Solat yang dilaksanakan empat kali setahun banyak membantu murid mendalami amali solat.
Hasilnya, pencapaian cemerlang berjaya ditonjolkan murid dalam amali solat dengan lebih sempurna dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan dalam solat.
Kementerian Pelajaran ternyata menaruh harapan besar agar pelaksanaan program j-QAF mampu berfungsi sebagai tonggak memperkasakan pendidikan Islam untuk membina jati diri insan mukmin di samping merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara.
Namun, di sebalik kejayaan itu, tidak dinafikan terdapat beberapa permasalahan dalam pelaksanaan program j-QAF dan jika tidak dilakukan penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan, ia boleh menjejas kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Sama ada kalangan ibu bapa mahupun guru j-QAF sendiri, masalah itu dikhuatiri memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran j-QAF yang kini sudah memasuki tahun kelima pelaksanaannya.
Seorang guru j-QAF di salah sebuah sekolah rendah di Subang Jaya mengakui sesetengah ibu bapa enggan memberi kerjasama bagi memastikan penyertaan dan komitmen penuh anak mereka dalam aktiviti j-QAF terutama membabitkan sesi P&P model tasmik yang dilaksanakan di luar jadual waktu persekolahan.
“Ramai ibu bapa tampil dan mengadu pelbagai masalah timbul sekiranya sesi itu dijalankan selepas waktu persekolahan. Ada yang bimbangkan keselamatan anak selain mengadu sukar mendapat pengangkutan untuk pulang,” katanya.
Justeru katanya, kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program j-QAF.
Katanya, kerjasama itu dituntut bagi memastikan program j-QAF mampu berfungsi sebagai tunggak dalam memperkasakan pendidikan Islam di sekolah.
Guru Pendidikan Islam di sekolah sama pula mendedahkan ada kalanya wujud ketidaksefahaman antara penyelia dengan guru j-QAF berikutan sikap negatif segelintir guru j-QAF ketika mengikuti latihan di sekolah.
“Saya tidak labelkan semua guru j-QAF bersikap sedemikian, namun ada segelintir daripada mereka enggan menerima teguran, malah tidak menghormati penyelia yang bertanggungjawab membimbing dan melatih mereka. Malah, ada yang membelakangkan penyelia dalam membuat keputusan berkaitan aktiviti j-QAF ,” katanya yang berpengalaman menyelia guru j-QAF sebelum ini.
Mengakui permasalahan itu mungkin dianggap remeh dan kes terpencil, beliau bagaimanapun mencadangkan agar latihan kepada guru j-QAF dilaksanakan di institusi pendidikan guru, sebelum mereka memulakan tugas sebagai pendidik di sekolah.
Berita Harian Online: 5 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan