Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya prihatin terhadap keperluan menilai dan menyemak pengisian dan kurikulum program itu selari dengan tuntutan masa dan perkembangan bidang pendidikan Islam masa kini.
Katanya, mesyuarat pertama jawatankuasa khas yang dipengerusikan beliau sendiri akan menyusul dalam tempoh terdekat bagi merungkai segala isu dan permasalahan sepanjang lima tahun pelaksanaan program j-QAF di sekolah rendah.
“Kita tidak menafikan wujud kekangan dan masalah dalam pelaksanaan j-QAF dan ia diakui perlu diatasi dengan pendekatan bijak dan itulah peranan Jawatankuasa Khas ini.
“Maklum balas, pandangan atau cadangan ahli jawatankuasa khas akan diambil kira, bukan hanya berkaitan program j-QAF, malah merangkumi Kelas Agama dan Fardu Aini (Kafa) yang dikendalikan Jakim.
“Kita melihat pengisian Kafa mempunyai persamaan dengan j-QAF dan usaha penyelarasan dilihat wajar dilakukan bagi mengelak sebarang pertindihan selain memantapkan kurikulum kedua-dua program,” katanya kepada Berita Harian.
Alimuddin menjelaskan, jawatankuasa terbabit juga akan mencari kaedah bagaimana j-Qaf yang pada masa ini membabitkan murid sekolah rendah dapat dimantapkan selain dilanjutkan sehingga kepada pelajar tingkatan lima.
Katanya, pelaksanaan program j-QAF di peringkat sekolah menengah disifatkan wajar bagi memastikan kesinambungan berterusan dan pengetahuan mantap setiap pelajar dalam pendidikan Islam.
Selain itu, katanya, isu berkaitan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dijangka turut dibincangkan jawatankuasa khas terbabit sejajar dengan perancangan Kementerian Pelajaran untuk memperbanyakkan lagi SABK yang ketika ini berjumlah 155 buah selain memastikan kualiti pendidikan di sekolah itu dapat ditingkatkan.
“Kita yakin penubuhan Jawatankuasa Khas ini adalah usaha terbaik memperkasakan bidang pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara.
“Biarpun ramai mengakui sistem pendidikan Islam negara kita teratur dan sistematik, namun usaha penambahanbaikan dari masa ke semasa wajar dilakukan bagi memastikan ia terus menepati wawasan dan kehendak negara,” katanya.
Berita Harian Online: 5 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan