Khamis, 8 Oktober 2009

Kepimpinan Jameah cetus semangat

SABAK BERNAM – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra (STARP), Jameah Saleh, yang bersara pada 14 September lalu adalah rujukan yang baik bagi warga pendidik daerah Sabak Bernam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, STARP, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad, berkata, Jameah adalah pengetua yang bijak mentadbir, mengurus dan sentiasa komited serta bersemangat tinggi kepada anak bangsa dan 1Malaysia.

“Kita PIBG bertuah kerana pengetua yang berkhidmat di STARP sentiasa memberikan yang terbaik kepada sekolah dan membawa perubahan.

“Kita tiada masalah dengan pengetua yang berkhidmat, hubungan sentiasa harmoni, sejahtera dan menghormati pandangan satu sama lain. Jamead begitu komited dan berjaya mengendalikan sekolah dengan cemerlang menerusi PR (Public Relation) yang baik,” katanya pada Majlis Persaraan, Malam Sebening Kasih, Selautan Budi.

Menurutnya, persaraan Jameah akan dirasai oleh semua warga STARP dan hubungan baik dengan semua warga sekolah.

“Kita tidak pasti sama ada kita boleh dapat pengganti sepertinya atau tidak. Di mana kita ketahui beliau menguruskan sekolah ini dengan baik, efektif banyak mencipta kejayaan.

“Bagaimanapun kita harap STARP terus berjaya dan mengharumkan nama dan mampu menyaingi sekolah lain dalam semua bidang,” katanya.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam, Ismail Sajat pula berkata, pihaknya sentiasa mengingati jasa perkhidmatan warga pendidiknya.

“Kelebihan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Jameah Saleh, adalah insan yang prihatin dan sentiasa tenang dalam berhadapan dengan cabaran kerja.

“Warga STARP bertuah kerana ada pengetua yang bersifat keibuan seperti Jameah. Banyak perubahan yang berlaku menerusi kepimpinan yang cemerlang,” katanya.

Kepimpinan Jameah dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab menurutnya harus dijadikan pemberi semangat kepada warga STARP untuk terus maju.

“PPD Sabab Bernam menghargai beliau dan mengharapkan persaraannya dalam bidang pendidikan tidak mengehadkan hubungan silaturahim sebaliknya terus berkekalan bersama warga pendidik.

“Kita mendoakan belau gembira menempuh dunia persaraan dan pengalamannya sumbangkan biarpun sudah bersara,” katanya.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: