KUANTAN - Perpaduan dalam kalangan murid harus dipupuk sejak sekolah rendah supaya mereka menyedari akan kepentingan aspek itu.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baging, Zainab Karim berkata, mereka harus menjadi rakyat bertanggungjawab, menghormati budaya masing-masing dan mengeratkan silaturahim sesama kaum.
Menurutnya, pelbagai program sekolah mampu melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan murid kerana mereka boleh berinteraksi selain mengikuti acara yang disediakan.
"Semangat perpaduan boleh dipupuk di peringkat sekolah rendah lagi, sekali gus menjayakan konsep 1Malaysia," katanya ketika ditemui pada Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), di sekolah itu.
Pada program itu, sekolah mengadakan jamuan Aidilfitri yang turut disertai murid pelbagai kaum bagi meraikan sambutan perayaan itu.
Zainab Karim berkata, sambutan julung kali itu turut membabitkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kong Ming dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Jeram.
Katanya, sebelum ini pihaknya mengadakan program bersama komuniti bagi menepati program RIUMP di sekolah.
“Kali ini sekolah ambil keputusan menjemput murid kedua-dua sekolah itu untuk sama-sama memeriahkan Aidilfitri, di samping melihat cara sambutan perayaan kaum Melayu.
“Mereka juga dapat menikmati juadah seperti sate, pelbagai jenis biskut dan kuih tradisional,” katanya.
Beliau berkata, sambutan itu juga menepati konsep 1Malaysia yang diperkatakan pemimpin negara.
Seorang murid, R Kalavani, 11, berkata, dia seronok kerana dijemput meraikan sambutan perayaan di sekolah itu.
“Ini kali pertama saya datang ke sekolah ini dan bersama-sama menyerikan jamuan hari raya.
“Menu istimewa yang saya gemari adalah sate dan kuih muih,” katanya.
Bagi murid SK Sungai Baging, Nik Syazwan Nik Wan Abdul Shomad, 12, kehadiran murid kedua-dua sekolah itu adalah satu usaha baik untuk memperkenalkan budaya Melayu kepada mereka.
“Selain melihat budaya Melayu, kami juga dapat melihat persembahan wushu dan permainan yoyo oleh murid SJK (C) Kong Ming,” katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Rahim Abas.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan