Isnin, 5 Oktober 2009

Lepas burung merpati simbolik persaraan Julia

KUALA SUNGAI BARU – Dua burung merpati dilepaskan sebagai simbolik berakhirnya tugas Julia Mahmud sebagai Pengetua Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat yang bersara awal walaupun ditawarkan pihak Jabatan Pelajaran Melaka (JPM) menyambung jawatan berkenaan selama dua tahun lagi.

Julia, 56, adalah Pengetua Kanan sangat menitikberatkan soal pendidikan.

Julia juga adalah ibu dan nenek kepada seluruh warga SMK Rahmat.

Namun, Julia terpaksa bersara awal dengan genapnya umur sebagai penjawat awam dan semua guru serta pelajar terpaksa akur dengan keputusannya.

Menurutnya, walaupun pada awalnya sukar membuat keputusan, namun disebabkan beberapa faktor akhirnya dia terpaksa memilih untuk bersara lebih awal.

“Biar jawatan yang pernah dipikul selama 31 tahun sebagai pendidik diberikan laluan kepada pelapis baru untuk menerajui perkhidmatan kepada anak bangsa terutama di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Linggi,” katanya kepada Sinar Harian sempena Majlis Budimu Kukenang, Baktimu Kujulang di pekarangan SMK Rahmat, di sini.

Katanya, segala kenangan manis dan kejayaan sekolah itu dijadikan nostalgia sukar dilupakan.

Menurutnya, untuk menjadi pendidik bukan perkara mudah dan memerlukan banyak pengorbanan sehingga ada kalanya tugas sebagai isteri, ibu dan nenek diabaikan akibat leka bekerja.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru SMK Rahmat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dipengerusikan Ar Ismail Othman juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi serta pihak JPM juga rakan seperjuangan banyak memberi sokongan untuk membolehkan saya menerajuinya sebagai ketua pemimpin di sini.

“Pada mulanya, menyandang jawatan sebagai pengetua, kemudian dinaikkan pangkat pengetua kanan bukan perkara mudah banyak perkara perlu diharungi. Namun segalanya berjalan seperti dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Julia berharap, seluruh warga SMK Rahmat dapat memberi kerjasama kepada bakal penggantinya dan cuba menaikkan nama sekolah itu ke peringkat lebih baik.

Sinar harian: 5 Oktober 2009

Tiada ulasan: