PERKEMBANGAN pesat sistem pendidikan negara banyak membantu pelajar mencapai kecemerlangan. Analisis pelbagai peperiksaan utama saban tahun menunjukkan pencapaian akademik pelajar di negara ini semakin meningkat. Keadaan ini menyebabkan proses penapisan atau pemilihan yang terbaik di kalangan yang terbaik menjadi semakin rencam serta sukar dilakukan. Melihat sistem yang diguna pakai semasa, terlalu ramai pelajar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga seolah-olah wujud keperluan mengklasifikasikan kelompok itu. Pada peringkat lulusan SPM contohnya, kekaburan garis pemisah antara terbaik di kalangan terbaik ini boleh menimbulkan isu, khususnya dari segi tawaran biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran. Oleh kerana tempat yang disediakan terhad, hanya segelintir daripada kelompok cemerlang itu berpeluang menikmatinya. Ketiadaan piawaian pemisah yang jelas itu ada kalanya mencetus tidak puas hati di kalangan masyarakat.
Tindakan kerajaan mengumumkan sistem penggredan baru bagi SPM bermula tahun ini diyakini mampu menangani masalah itu. Kaedah berkenaan, yang diluluskan Kabinet bulan lalu membabitkan penggredan 10 peringkat berbanding sembilan sebelum ini. Mengikut sistem baru, gred yang digunakan ialah A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E menggantikan 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G yang sedia ada. Ia jelas memberi tumpuan khusus kepada kelompok cemerlang dengan membahagikannya kepada lebih banyak kategori. Jika sebelum ini, kecemerlangan dalam sesuatu subjek SPM hanya dikelaskan kepada dua iaitu 1A dan 2A, penggredan baru memecahkannya kepada tiga iaitu A+, A dan A-. Bagaimanapun, perubahan sistem gred itu tidak membabitkan pertukaran dasar dan calon tidak perlu khuatir ia menjejaskan kedudukan mereka. Selain menghapuskan kekeliruan, sistem baru itu juga sejajar usaha kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang khusus kepada pelajar cemerlang akademik.
Dalam persekitaran semasa yang menunjukkan semakin ramai pelajar mampu melampaui piawaian kecemerlangan, langkah membuat penilaian bersesuaian itu amat menepati keperluan supaya potensi mereka tidak terbantut. Pada masa sama, pendekatan baru itu juga akan membuka ruang litup lebih luas kepada kelompok elit yang mempunyai keupayaan luar biasa supaya ia dapat digilap ke peringkat lebih tinggi. Mungkin selepas ini, pendekatan sama boleh diaplikasi pada peringkat lebih rendah bagi memastikan bakat mereka dapat dikenal pasti awal. Ia juga boleh membantu kita mengenal pasti kemahiran lain yang boleh ditingkatkan di kalangan kelompok ini sejajar usaha merealisasikan wawasan sistem pendidikan ke arah melahirkan lebih ramai modal insan yang sempurna sahsiahnya pada masa depan.
Berita Harian Online: 7 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tumpang tanya,
Berapalah markah untuk A+?
Catat Ulasan