Oleh Solihan Badri
Semua kaum perlu akur matlamat pendidikan pupuk kerjasama pelbagai bangsa
PERPADUAN kaum adalah matlamat utama pembangunan negara dan peranan pendidikan amat penting bagi mencapai matlamat itu. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran sudah memperkenalkan dasar Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) supaya SK kekal sebagai sekolah pilihan utama masyarakat Malaysia.
Walaupun dasar ini memberi keutamaan kepada SK, kementerian sentiasa memberi perhatian seimbang untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) supaya pendidikan untuk anak bangsa Malaysia yang belajar di sekolah berkenaan, tidak dipinggirkan.
Kerajaan juga tidak pernah menghalang ibu bapa untuk memilih aliran mana untuk menghantar anak mereka memperoleh pendidikan rendah, inikan pula menutup mana-mana sekolah jenis kebangsaan walaupun bilangan murid yang belajar di sesuatu sekolah itu cuma beberapa orang.
Malangnya matlamat SK untuk meningkat dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan murid pelbagai kaum supaya dapat dilatih saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta toleransi yang tinggi, tidak diberi perhatian sewajarnya oleh sesetengah anggota masyarakat.
Pelbagai kesalahan dan kelemahan SK dicungkil untuk dijadikan alasan mengapa mereka tidak menjadikan SK sebagai pilihan. Mereka mendakwa SK banyak kelemahan dan sesetengahnya menghentam habis-habisan sehingga digambarkan seolah-olah SK pula yang menjadi penghalang kepada wujudnya penyatuan pelbagai kaum di negara ini.
Setiap anggota masyarakat yang cintakan perpaduan seharusnya bersama kerajaan, khususnya kementerian yang berusaha gigih memperkasakan SK kerana ia diwujudkan bukan untuk sesuatu kaum saja tetapi seluruh rakyat Malaysia. Kementerian menjadikan dasar Memperkasakan SK sebagai teras ketiga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.
Dasar memperkasakan SK ini adalah memastikan semua sekolah rendah yang berbahasa pengantar bahasa Melayu dan sekolah menengah kebangsaan menjadi sekolah pilihan utama masyarakat Malaysia. Matlamat dasar ini untuk meningkat dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan pelajar pelbagai kaum sejak peringkat muda lagi.
Fokus memperkasakan SK pada peringkat sekolah rendah dan menengah adalah untuk menjadikan sekolah ini lebih beraspirasi nasional, meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan meningkatkan kualiti prasarana. Sasaran jangka panjang kementerian adalah menjadikan SK pusat kecemerlangan pendidikan dari semua segi seperti prasarana, disiplin dan keselamatan pelajar, pencapaian kokurikulum dan sukan, penguasaan ICT, kualiti guru dan kepemimpinan sekolah.
Bercakap lebih mudah daripada melakukan, manakala ada sesetengah di kalangan kita suka mengkritik dan menuduh tanpa usul periksa sehingga menafikan bahawa apa yang mereka dakwa tidak disediakan di SK sememangnya, sudah ada dan dipraktikkan oleh pihak pentadbir sekolah, malah sentiasa melalui proses penambah-baikan.
Kita menyedari pelaksanaan sesuatu dasar sering berdepan pelbagai isu dan cabaran menyebabkan sasaran dasar itu diwujudkan tidak dapat dicapai 100 peratus. Oleh itu, setiap rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kemajuan, haruslah mengenepikan kepentingan diri dan menahan daripada membuat tuduhan serta tuntutan tidak berasas, sebaliknya membantu kementerian mencapai ciri-ciri sekolah perkasa.
Adalah diharapkan supaya pembaca lebih-lebih lagi mereka yang tidak menyukai SK atau golongan ibu bapa dan anggota masyarakat yang langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekolah anak mereka, supaya meluangkan masa mendapatkan maklumat mengenai SK di bawah ini.
Kementerian Pelajaran menetapkan lapan fokus, 24 Strategi Pelaksanaan, 55 Pelan Tindakan dan lebih 100 program/projek/aktiviti dalam memperkasakan SK yang perlu dilaksanakan iaitu:
l Perluasan program prasekolah. Ada lima Strategi Pelaksanaan dan tujuh Pelan Tindakan.
l Pemantapan kepemimpinan Pengetua/Guru Besar dan kualiti guru. Ada dua Strategi Pelaksanaan dan sembilan Pelan Tindakan.
l Pengukuhan budaya sekolah. Ada satu Strategi Pelaksanaan dan dua Pelan Tindakan.
l Pemantapan kurikulum. Ada lima Strategi Pelaksanaan dan 18 Pelan Tindakan.
l Penambahbaikan aktiviti kokurikulum dan sukan. Ada dua Strategi Pelaksanaan dan lima Pelan Tindakan.
l Penambahbaikan sistem sokongan. Ada dua Strategi Pelaksanaan dan tiga Pelan Tindakan.
l Peningkatan prestasi akademik. Ada dua Strategi Pelaksanaan dan empat Pelan Tindakan.
l Menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas mencukupi dan berkualiti. Ada lima Strategi Pelaksanaan dan tujuh Pelan Tindakan.
Fokus pertama iaitu perluasan program prasekolah membabitkan pelan tindakan dengan menambah 3,134 kelas prasekolah. Sehingga Jun lalu, 2,611 kelas prasekolah (83.3 peratus) dibuka berbanding jumlah 3,134 kelas yang dirancang.
Sementara itu, 88 kelas prasekolah pendidikan khas diwujudkan berbanding 100 kelas yang dirancang. ‘Outcome’ untuk fokus pertama adalah penambahan murid mengikuti pendidikan prasekolah dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). ‘Outcome’ adalah kadar literasi murid Tahun Satu meningkat.
Bagaimanapun, ada isu dan masalah dalam fokus pertama iaitu ketiadaan kelas untuk diubahsuai sebagai kelas prasekolah dan tiada tapak untuk membina bangunan baru di sekolah sedia ada. Ada beberapa cadangan penambahbaikan seperti penubuhan prasekolah secara berpusat, pembinaan prasekolah di sekolah menengah dan membina prasekolah berasingan dari kawasan sekolah sedia ada.
Fokus kedua pula menumpukan kepada pemantapan kepemimpinan pengetua/guru besar dan kualiti guru. Pelan tindakan adalah menyediakan latihan mencukupi dan mendapatkan semua 2,084 pengetua dan 6,356 daripada 7,597 (83.6 peratus), guru besar mengikuti latihan kepemimpinan dan pengurusan di Institut Aminuddin Baki (IAB) pada tahun ini.
Hasil latihan ini adalah kepemimpinan dan pengurusan sekolah cekap dan berkesan dan KPI hasil itu adalah peratusan kelulusan cemerlang peperiksaan awam meningkat.
Kementerian serius dalam pemantapan kepemimpinan pada peringkat SK, menyedari masih ramai guru besar belum menghadiri latihan kepemimpinan anjuran IAB meletakkan pencapaian sasaran 100 peratus pada akhir 2010. Sehubungan itu, satu kajian ke atas keberkesanan latihan yang diikuti oleh pengetua dan guru besar akan dilaksanakan.
Fokus ketiga, pengukuhan budaya sekolah. Pelan tindakan adalah untuk meminimumkan masalah disiplin. Terdapat penurunan kadar masalah disiplin di kalangan murid iaitu penurunan dari 0.55 peratus pada 2007 kepada 0.47 peratus pada 2008 untuk sekolah rendah dan 2.28 peratus pada 2007 kepada 1.65 peratus pada 2008 untuk sekolah menengah.
Fokus keempat adalah pemantapan kurikulum. Pelan tindakan pertama adalah memastikan SK menawarkan j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain). Bermula 2005 sehingga 2009, sejumlah 4,467 SK menawarkan j-QAF, maka peratusan murid menguasai j-QAF meningkat.
Walaupun kajian menunjukkan peratusan murid di SK dapat menguasai dua bahasa meningkat hasil pelaksanaan program itu, penawaran mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil masih kurang mampu menarik murid bukan Melayu ke SK. Oleh itu, kementerian mengarahkan supaya Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai Pendidikan Daerah dan guru besar memainkan peranan masing-masing untuk menarik minat murid di SK.
Marilah kita menyokong benih perpaduan yang kita semai di SK ini dengan rasa tanggungjawab dan keikhlasan, menekankan persamaan daripada perbezaan, memilih penyatuan daripada pengasingan, memilih penawar daripada bisa untuk memastikan benih tumbuh subur bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang kuat perpaduannya.
Penulis ialah Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran
Berita Harian Online: 7 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan