|
|
GUA MUSANG 2 Okt. – Lapan orang wanita Pembantu Pengurusan Murid (PPM) tidak pernah menyangka tawaran pekerjaan itu akan membawa mereka jauh ke ceruk pedalaman dan mereka tiada lagi pilihan.
Ia mengejutkan mereka pada peringkat awalnya dan mula membayangkan kehidupan yang sukar apabila terpaksa bekerja berjauhan dengan suami, anak dan anggota keluarga di samping kemudahan yang terbatas.
Mereka bagaikan tidak dapat menerima hakikat bertugas di Sekolah Kebangsaan Sri Permai di kawasan berbukit-bukau jauh ke dalam hutan untuk menguruskan sekumpulan anak-anak Orang Asli dari suku kaum Temiar.
Mereka perlu menempuh perjalanan sejauh kira-kira dua jam melalui jalan balak dengan menaiki pacuan empat roda sejuah 40 kilometer bermula dari jalan besar Meranto untuk keluar dan masuk ke kawasan itu.
Seringkali pula dalam perjalanan pergi dan balik itu kenderaan terhalang oleh lumpur dengan jalan yang becak dan juga kerap pula terserempak dengan binatang buas seperti harimau, gajah dan ular.
Tetapi setelah setahun berlalu, ia kini hanyalah satu rutin biasa tanpa keluh-kesah dan mereka menunaikan tanggungjawab untuk kepentingan anak-anak Orang Asli itu di sekolah yang terletak di Kampung Pasik.
Tujuh daripada mereka telah berumahtangga dan hanya kembali ke pangkuan suami dan keluarga pada setiap hujung minggu kerana tempat itu tidak mengizinkan mereka berulang-alik setiap hari.
Tambahan tugas yang perlu dilaksanakan termasuk memantau keadaan anak-anak Orang Asli itu pada setiap masa.
Bagi Zairul Haslinda Che Malim 25, berkata, awalnya dia berasa seolah-olah ‘dibuang’ ke tempat yang diselaputi hutan, tetapi akhirnya dapat memujuk diri sendiri.
PPM Asrama dari Pasir Puteh itu berkata, tugasnya termasuk memastikan lebih 100 orang anak-anak Orang Asli itu mematuhi peraturan termasuk mandi, makan dan juga minum.
Dia ditemui semasa lawatan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Zahari Daud dan rombongan untuk Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sri Permai kali keenam dan majlis berbuka puasa di sekolah itu baru-baru ini.
Hadir sama 19 orang warga guru dan staf sokongan sekolah dan lebih 100 ibu bapa Orang Asli. Seramai 53 murid menerima sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
Rosliza Zahari 36 berkata, dia menerima hakikat bertugas di sekolah itu setelah memendam perasaan tidak bekerja sebelum ini.
‘‘Ini peluang saya mendapatkan pendapatan sendiri untuk menambah pendapatan keluarga, '' katanya yang terpaksa meninggalkan dua orang anak di bawah jagaan suami demi tugas.
Katanya, dia rela ditempatkan di sekolah itu kerana menepati minatnya menguruskan anak-anak Orang Asli untuk bersekolah.
Suriyati Zulkifli 25 berkata, sepanjang masa berada di sekolah itu, mereka seolah-olah berada dalam sebuah keluarga yang besar dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.
‘‘Tidak banyak aktiviti yang dapat dijalankan kerana bekalan elektrik hanya menggunakan generator,” ujarnya.
Rosilayati Ismail 29, berkata, walaupun terpaksa menjadi isteri hujung minggu, dia berbesar hati dengan pendapatannya yang dianggap setimpal dan keadaan setempat membolehkannya berjimat.
Berikutan ditempatkan di SK Permai itu, dia menerima elaun RM1,000 dan pemberian itu melambangkan keprihatinan kerajaan tentang masalah yang dihadapi.
Siti Shazwahiad Awang 24 berkata, dia dan rakan-rakan mempunyai tanggung jawab besar untuk menguruskan anak-anak Orang Asli itu agar dapat belajar dalam dalam keadaan yang baik dan tidak meninggalkan sekolah kerana tarikan kehidupan di hutan.
Utusan Malaysia Online: 3 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan