Rabu, 7 Oktober 2009

Sentral: Pelajar duduki PMR, SPM dan STPM solat hajat

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

5,000 calon sertai program Ijtima Munajat Kecemerlangan anjuran Jabatan Pelajaran di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 pelajar dari Wilayah Persekutuan yang sedang dan akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini menyertai program solat hajat di Masjid Negara, baru-baru ini, untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Perhimpunan itu diadakan sempena program Ijtima Munajat Kecemerlangan PMR, SPM dan STPM Sekolah-Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) anjuran Jabatan Pelajaran WPKL dan Masjid Negara.


Program bermula dengan solat Maghrib bersama bacaan Yasin dan tahlil diketuai Ehsan Rusdi dan disusuli solat Hajat/doa Munajat selepas solat Isyak. Penceramah bebas, Datuk Dr Zaifuddin Md Raship turut diundang bagi memberikan motivasi kepada pelajar yang hadir.

Pengarah Pelajaran Jabatan WPKL, Sulaiman Wak yang ditemui pada majlis itu berkata 95 sekolah seluruh WPKL terbabit dengan program yang diadakan setiap tahun itu.

“Ia adalah siri kedua iaitu siri kemuncak selepas program pertama membabitkan ibu bapa dan pelajar di Masjid WPKL. Sebelum ini, kita gerakkan kecemerlangan melalui program motivasi dan kelas bimbingan dan pada akhiri dengan solat hajat dan Yasin yang juga adalah program induk dan gabungan pada peringkat WPKL,” katanya.

Acara berkenaan bukan saja bermatlamat melahirkan pelajar cemerlang tetapi memiliki sahsiah diri yang tinggi serta mengeratkan hubungan antara pelajar dengan ibu bapa, rakan dan guru.

Pelajar yang ditemui turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menghadiri program berkenaan bagi meningkatkan keyakinan diri saat berdepan PMR pada awal bulan ini dan SPM yang dijangka pada 20 atau 21 November ini.

Afifilmam Mohd Amin dari Sekolah Bukit Jalil yang bakal menduduki SPM mensasarkan 7A bagi memburu cita-citanya untuk bergelar seorang arkitek kelak.

Bagi Sofia Abdullah pula program ini memberikan pengalaman baru kepadanya.

Pelajar berasal dari kaum Semai di Cameron Highlands yang kini tinggal di Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan di sini, sudah membuat persediaan sewajarnya bagi menduduki SPM.

“Saya mengambil kesempatan solat hajat untuk berdoa mendapat 9A kelak. Pada masa sama, saya juga berdoa agar kedua ibu bapa mendapat hidayah untuk memeluk Islam seperti saya,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Oktober 2009

Tiada ulasan: