Jumaat, 3 April 2009

PPSMI sudah lama ditukar jika mahu kejar populariti

PULAU PINANG 2 April – Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah lama ditukar jika hendak mencari populariti politik, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebaliknya tegas beliau, dasar yang diperkenalkan enam tahun lalu itu tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak yang dipercayai berunsurkan politik.

Hishammuddin turut mempersoalkan mengapa sekarang baru ada pihak menjadi terlalu emosi hingga ada yang membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

‘‘Kenapa sekarang baru sibuk-sibuk hendak dibangkitkan jika bukan kerana motif politik, saya tidak salahkan pejuang bahasa kerana saya tahu mereka ini konsisten dan ikhlas.

‘‘Namun kadang kala perjuangan mereka itu boleh dieksploitasi pihak tertentu kerana pandangan sempit politik yang akhirnya tidak membantu kita untuk membuat keputusan tepat.

‘‘Bagaimanapun, bagi saya dalam keadaan begini kalau saya pilih hendak jadi popular dah lama saya tukar polisi ini tetapi bukan kerana populariti saya berada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan rasmi ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM) yang turut dihadiri Pengarahnya, Dr. Azian Tengku Syed Abdullah di sini hari ini.

Kata Hishammuddin, beliau mahu keputusan berhubung isu PPSMI itu dibuat berdasarkan angka, kajian serta fakta dan bukan kerana populariti politik atau pertimbangan lain tetapi demi masa depan anak bangsa.

Tambah beliau, isu itu boleh dibincangkan oleh sesiapa sahaja tetapi harus mengikut landasan ditetapkan tanpa menyimpang daripada matlamat ke arah memperbaiki dan memantapkan dasar yang diperkenalkan itu.

Jelasnya, sesuatu isu itu apabila melibatkan campur tangan bermotifkan politik boleh menyebabkan pertimbangan menjadi sempit sekali gus lebih berunsurkan mencari populariti atau agenda tertentu.

Utusan Malaysia Online: 3 April 2009

Tiada ulasan: