Jumaat, 3 April 2009

7 syor laksana PPSMI ke Kabinet

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran menyediakan sekurang-kurangnya tujuh cadangan kepada Kabinet berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tujuh cadangan yang dimasukkan dalam memorandum kementerian untuk diteliti Kabinet dibuat atas fakta serta kajian pihaknya sejak PPSMI dilaksanakan.

Setakat ini, sebahagian daripada cadangan itu sudah diumumkan iaitu Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, manakala penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu diteruskan di sekolah menengah.

Kementerian turut mencadangkan PPSMI dimulakan pada Tahun Empat hingga sekolah menengah atau menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi mata pelajaran terbabit.

Sekolah diberi kuasa menentukan penggunaan bahasa pengantar dua subjek itu, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti

dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.

"Kami akan membentangkannya dalam masa terdekat iaitu selepas pembentukan Kabinet baru berikutan peralihan kuasa di antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak.

"Ia akan diedarkan kepada setiap kementerian untuk ulasan dan kemudian di-

kemukakan kepada Jemaah Menteri. Keputusan mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama selepas itu," katanya.

Beliau bercakap demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (Recsam) Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo), di sini semalam.

Pelaksanaan dasar PPSMI diputuskan Kabinet pada 2002 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan serta kualiti murid bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menyatakan bantahan dan kemelut isu PPSMI semakin meruncing menjelang Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Berita Harian Online: 3 April 2009

Tiada ulasan: