KOTA TINGGI 2 April - Pendekatan menganggap murid seperti anak sendiri mampu meningkatkan keberkesanan mengajar bagi mencapai kecemerlangan pelajaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba berkata, jika ia dapat dilakukan dengan baik, ia akan memberi satu persepsi positif dan keselesaan pembelajaran di kalangan murid-murid untuk berjaya dalam pelajaran.
"Betapa indahnya kalau dalam sebuah rumah tangga, ibu bapa berakhlak mulia dan berperanan mendidik anak-anak dan dapat pula menjadi contoh.
"Sementara itu di sekolah, guru-guru bagaikan ibu dan ayah sendiri, mendidik anak murid bagaikan anak sendiri, penuh dengan kasih sayang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Bukit Ramun, Kulaijaya di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Sektor Pengurusan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya, Mansor Othman dan Guru Besar SK LKTP Bukit Ramun, Md. Yunus Ramlan.
Kira-kira 100 ibu bapa menghadiri mesyuarat pada kali ini.
Menurut Adham, menerusi pendekatan kasih sayang itu membuatkan murid-murid akan rasa disayangi dan mudah memahami apa yang dipelajari.
Katanya, agama Islam turut mengajar umatnya agar memberi didikan dengan perasaan kasih sayang, belas kasihan dan sabar terhadap anak murid.
Dalam pada itu, Adham turut memaklumkan bahawa dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), SK LKTP Bukit Ramun bakal mendapat bangunan sekolah baru bernilai RM5 juta.
Ini, katanya, bagi menggantikan bangunan sekolah yang dibina pada tahun 1970.
Pada majlis tersebut Adham turut menyumbangkan peruntukan RM400 bagi membiayai kos bayaran insurans 250 pelajar sekolah itu.
Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada lima pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008.
Utusan Malaysia Online: 3 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan