SEREMBAN 2 April - Hukuman rotan bukan punca kematian murid tahun tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Gemas, Chan Qi Xin.
Walaupun mengakui insiden rotan itu memang berlaku, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohamad menolak kemungkinan ia menjadi punca kematian murid tersebut.
Katanya, murid berusia sembilan tahun itu dirotan oleh gurunya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
"Pihak sekolah telah memaklumkan perkara itu kepada JPNS dan terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan bahawa hukuman itu sebagai penyebab kematian mangsa.
"Kematian mangsa dilihat sesuatu yang misteri dan kita berharap hasil bedah siasat nanti akan dapat merungkai punca sebenar kematian murid berkenaan," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.
Menurut Abdullah, JPNS akan bertemu dengan pihak sekolah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kes itu.
Qi Xin yang menghidap penyakit saraf otak meninggal dunia awal pagi kelmarin, selepas beberapa jam dirotan di bahagian tangan oleh gurunya.
Mangsa sebelum itu tidak menunjukkan sebarang kesan drastik, sebaliknya mengadu sakit kepala dan pengsan beberapa minit selepas itu.
Sementara itu, polis hari ini menolak dakwaan wujudnya unsur-unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Zazali Hashim berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa berkemungkinan menghidap penyakit saraf otak dikenali sebagai arteriovenous malformation.
Katanya, penyakit berkenaan boleh menyerang pesakit bila-bila masa menyebabkan mangsa mengalami pening, sukar menggerakkan badan dan tidak boleh bertutur.
"Setakat ini polis menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah dan hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami penyakit saraf berkenaan yang menyebabkan dia mengalami beberapa simptom.
"Penyakit ini boleh berlaku bila-bila masa dan akan menyerang pesakit di saraf tunjang yang kemudiannya akan merebak dan mengakibatkan maut," katanya.
Tambah beliau, pihak polis sehingga kini masih lagi menunggu hasil laporan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tuanku Ja'afar sebelum siasatan dari segenap aspek dilakukan.
Utusan Malaysia Online: 3 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan