Kejadian pada 26 Mac lalu di sekolah rendah berkenaan, perlu dijadikan iktibar mengenai tahap keselamatan di sekolah apabila seorang guru dibelasah pengawal keselamatan sekolah di hadapan murid. Akibatnya guru itu cedera dan seorang lagi lelaki yang cuba menolong guru terbabit turut mengalami kecederaan.
Kejadian itu menyebabkan polis datang ke sekolah sehingga murid terpinga-pinga dan takut. Persoalannya, di manakah jaminan keselamatan anak yang kami hantar untuk dididik dengan sempurna kalau guru mereka sendiri dipukul di hadapan mereka oleh mereka yang kononnya dilantik untuk menjaga keselamatan warga sekolah?
Pada keesokan paginya, anak kami berasa amat takut dan cemas untuk pergi ke sekolah selepas menyaksikan apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Saya pasti guru juga menjadi trauma dengan apa yang berlaku.
Sepatutnya, pengurusan sekolah membuat perjumpaan bersama pihak ibu bapa dan polis untuk menjelaskan isu sebenar kejadian terbabit. Jangan biarkan ibu bapa membuat spekulasi sendiri berasaskan khabar angin. Jangan disapu isu ini di bawah permaidani pejabat sekolah seolah-olah tiada apa yang serius berlaku.
Kami amat berharap pihak pentadbiran sekolah lebih prihatin dan proaktif dengan isu ini. Bagi kami, isu keselamatan warga sekolah tidak boleh dikompromikan. Kami tidak mahu perkara ini berulang lagi.
Kami juga berharap dalam tempoh terdekat, akan ada satu perjumpaan khas membabitkan Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Utama, guru besar sekolah, guru sekolah, ibu bapa pelajar dan polis agar segala persoalan isu keselamatan di dalam dan di luar kawasan sekolah dapat diperjelaskan.
WARIS RISAU,
Petaling Jaya,
Selangor.
Berita Harian Online: 2 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan