Jumaat, 3 April 2009

Hishammuddin pertahan cadangan guru berpolitik

GEORGETOWN: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan cadangan supaya golongan pendidik, terutama guru Kumpulan A dibenarkan terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan berkenaan turut disertai syarat, iaitu guru dilarang menyebarkan dakyah atau fahaman politik di sekolah kerana tanggungjawab utama mereka adalah mengajar. Katanya, tugas guru cukup penting dalam konteks berpolitik serta demokrasi negara dan parti.

"Saya bimbang jika profesionalisme, semangat, kesungguhan dan sumbangan mereka tidak diberikan ruang pada peringkat parti politik, hala tuju kita untuk mendampingi rakyat akan terjejas kerana guru menjadi mata dan telinga kepada masyarakat.

"Landskap politik negara yang baru menuntut kita mendengar aspirasi, harapan serta pandangan orang ramai pada peringkat akar umbi bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik diberikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (Recsam) Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo), di sini semalam.

Hishammuddin berkata, perbahasan yang berlaku ketika ini berhubung cadangannya itu boleh dianggap sebagai satu proses untuk mengambil kira pandangan semua pihak.

"Kita sudah mendengar reaksi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu ia dihadkan kepada guru besar

dan pengetua, manakala Datuk Alimuddin Mohd Dom (Ketua Pengarah Pelajaran) pun ada pandangan,” katanya.

Berita Harian Online: 3 April 2009

Tiada ulasan: