Isnin, 3 Mei 2010

Peluang guru menulis



Mok Sheau Bin menunjukkan koleksi bahan terbitan syarikatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 2 Mei - Pendidik yang berminat untuk menghasilkan buku dalam bidang pendidikan, pengurusan dan pentadbiran boleh menemui Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. untuk merealisasikan impian anda.

Pengarah Urusannya, Mok Sheau Bin berkata, syarikatnya bersedia menjadi platform kepada pendidik yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing untuk diterbitkan sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin.

Menurut beliau, mereka yang berminat boleh bertemu dengannya atau wakil syarikat di Festival Hari Guru (FHG) 2010 anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini.

Penyertaan itu, ujar Sheau Bin, akan mengukuhkan lagi penerimaan masyarakat umum dan warga pendidik khasnya terhadap produk terbitan syarikat yang ditubuhkan pada 2005 itu.

"Pada peringkat awal kami hanya menerbitkan buku-buku bagi memenuhi keperluan guru pelatih sahaja tetapi kini terdapat lebih daripada 100 tajuk dalam pelbagai peringkat pendidikan, pengurusan dan pentadbiran bermula dari sekolah menengah sehingga ke tahap kolej dan universiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, melalui penglibatan dalam FHG, syarikat itu berharap dapat memberi sumbangan dalam bidang pendidikan negara terutamanya dalam penerbitan buku berbahasa Melayu.

Pada masa sama, kata Sheau Bin, pihaknya berharap usaha ini akan menarik minat lebih ramai guru dan pensyarah untuk turut sama memberi sumbangan idea dan sukatan dalam menerbitkan buku sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Ia juga akan membantu dalam memberi peluang kepada guru-guru untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat selain dapat meningkatkan mutu pendidikan negara," jelas Sheau Bin.

Penerbitan Multimedia, jelasnya, amat menggalakkan pensyarah khususnya dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk berkarya menghasilkan buku-buku bermutu yang memenuhi aspirasi bakal guru, pendidik dan generasi 1Malaysia.

Selain itu, katanya, buku-buku dan bahan rujukan yang diterbitkan memenuhi keperluan semua peringkat perguruan dari Gred 17 hingga Gred 54 yang lengkap dan terbaru serta menepati format peperiksaan terkini.

Produk lain terbitannya termasuk buku Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), komik subjek Sejarah Tingkatan satu hingga lima, set perpustakaan, bahan sokongan pembelajaran berbentuk perisian multimedia, bahan rujukan dan latihan peperiksaan guru di samping pelbagai rangkaian tajuk buku pendidikan bagi pelajar IPGM, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan IPT swasta.

"Bahan rujukan dan set perpustakaan yang dikeluarkan sesuai digunakan oleh guru di sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri yang boleh dijadikan bahan bacaan umum dan khusus untuk tujuan pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya.

Beliau memberitahu, Penerbitan Multimedia turut berjaya memenuhi keperluan para penjawat awam khasnya dari Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aspek kemajuan kerjaya.

"Kami diiktiraf sebagai penerbit bahan rujukan peperiksaan PTK yang produktif dan berautoriti," katanya.

Utusan Melaysia Online: 3 Mei 2010

Tiada ulasan: