Rabu, 5 Mei 2010

Benarkah dakwaan ini?

RAMAI yang tidak sedar terdapat segelintir pelajar yang bersekolah di pekan atau bandar yang telah bertahun-tahun dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan yang sama seperti rakan-rakan mereka yang lain.

Ini adalah nasib malang yang menimpa pelajar-pelajar Aliran Kemahiran di Sekolah Menengah Teknik (SMT).

Selama bertahun-tahun mereka yang berada di Tingkatan 5 Aliran Kemahiran tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan alasan yang sangat tidak dapat diterima akal iaitu sekolah bimbang keputusan peperiksaan SPM sekolah tersebut akan jatuh jika mereka dibenarkan menduduki peperiksaan.

Apa yang dilakukan oleh pihak sekolah adalah dengan meminta pelajar-pelajar ini mendaftar sebagai calon persendirian dan mereka juga diminta belajar sendiri tanpa disediakan guru untuk mengajar.

Bagaimanakah pihak Kementerian Pelajaran boleh terlepas pandang mengenai perkara ini? Sedangkan ia berlaku di hampir semua SMT di seluruh negara.

Apakah Pengetua sekolah yang perlu dipersalahkan atau wujudnya penglibatan pihak lain yang mendorong Pengetua bertindak demikian?

Walaupun baru-baru ini Kementerian Pelajaran melalui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi telah mengeluarkan arahan agar semua SMT mendaftarkan pelajar-pelajar Aliran Kemahiran yang berjumlah seramai 2,600 orang untuk menduduki peperiksaan SPM sebagai calon sekolah (Berita Minggu, 11 April 2010), bagaimana dengan nasib bekas-bekas pelajar yang telah meninggalkan sekolah?

Kenyataan Dr. Puad bahawa pengetua tidak berhak menyekat pelajar terbabit untuk menduduki peperiksaan tersebut menjemput satu lagi persoalan, apakah tindakan yang telah diambil terhadap pengetua yang telah menyekat pelajar Aliran Kemahiran pada tahun-tahun yang lepas?

Kenapakah pelajar-pelajar ini tidak diberikan peluang mempelajari kedua-duanya iaitu akademik dan kemahiran. Ini adalah penting kerana keperluan memiliki Sijil Pelajaran Malaysia untuk menyambung pelajaran di institusi kemahiran awam mahupun swasta atau memohon pekerjaan adalah realiti yang berlaku di negara kita.

Alasan bahawa mereka lebih meminati kemahiran berbanding akademik dibuat semata-mata bersandarkan keputusan tidak memuaskan pelajar-pelajar tersebut di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diduduki oleh remaja berusia 15 tahun menuntut kajian yang lebih menyeluruh oleh pakar-pakar pendidikan.

Apakah wujud hubungan yang jelas bahawa pelajar yang lemah di dalam akademik meminati kemahiran?

Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak termasuklah Kesatuan Guru mahupun Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) diminta lebih serius di dalam memantau dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran agar tidak lagi berlaku ''pisang berbuah dua kali''.

Walaupun apa pun tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pelajaran, hakikatnya kita telah menafikan hak sebahagian daripada rakyat Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna dan peluang untuk menduduki peperiksaan, satu hak yang dinikmati oleh remaja yang berada di Pusat Tahanan Akhlak dan Penjara, tetapi tidak dapat dinikmati oleh pelajar Aliran Kemahiran di SMT di atas ''kesalahan'' mereka iaitu tidak mendapat keputusan cemerlang sewaktu Penilaian Menengah Rendah dan ''tersilap'' memilih kursus ketika memohon untuk memasuki SMT.

Utusan Malaysia Online: 4 Mei 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya pelajar dan ibubapa yang memilih aliran kemahiran ini memahami realiti diri mereka. kalau mereka mahu menduduki SPM kekallah berada di sekolah biasa dan tidak perlu ke SMV. Realiti di sekolah pelajar yang lemah akademik sering kecundang kerana mereka sukar mengikuti silibus akademik yang tinggi tahapnya. Sesiapa yang menjadi guru di tingkatan 4 dan 5 mamahami, lebih-lebih lagi guru lama sebelum era 100% pelajar naik ke tingkatan 4. oleh itu bagi pelajar yang rendah tahap akademiknya, cubalah dalam bidang kemahiran, kalau perlu ambillah satu subjek iaitu bahasa melayu, kerana jika lulus dia akan dapat Sijil SPM.

Yat berkata...

Pada yg tiada nama. Untuk makluman anda, pelajar yg tidak menduduki aliran kemahiran dan bersekolah biasa adalah majoriti pelajar yg gagal. Walaubgaimanapun sebagai ibubapa, kami lebih suka jika anak2 kami mencuba sekolah aliran kemahiran. Tidak semestinya pelajar yg aliran kemahiran itu bodoh dalam akademik. Sekurang2nya mereka mendapat 3 sijil. Tolong buka minda anda. Sedangkan pelajar2 yg dikatakan cerdik pandai dalam akademik dan berpeluang melanjutkan pelajaran di IPTA selalunya lupa diri. Seperti kacang lupakan kulit . Yg tahu hanya membangkang kerajaan. Langsg tiada terima kasih. Lebih baik kerajaan kaji semula tawaran yg dibuat kpd pelajar yg dikatakan pandai di dalam akademik untuk melanjutkan pelajaran di IPTA dan bagi lah peluang sama rata kepada pelajar aliran kemahiran yg selalunya di salah ertikan..