Rabu, 8 Julai 2009

Sekolah: Didik murid istimewa

Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my


PELAJAR SKPK Alma turut didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat.

SKPK Alma komited bantu golongan cacat penglihatan cemerlang akademik, berdikari

TANGGUNGJAWAB terhadap keperluan murid istimewa (cacat penglihatan) supaya cemerlang akademik dan boleh berdikari menjadi amalan warga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, merealisasikan misi menyediakan pendidikan menyeluruh kepada golongan itu.

Guru Besarnya, Hassan Basri Mukhtar, berkata semua guru di sekolah itu tidak pernah jemu mendidik dan memberi ilmu pengetahuan kepada murid pelbagai bangsa dan agama, selain menyemai aspek keagamaan supaya berdisiplin, taat kepada Tuhan dan negara.

Katanya, kesemua muridnya yang tinggal di asrama itu dibimbing secara individu bagi memastikan mereka benar-benar memahami dan menguasai pelajaran yang disampaikan.

Selain itu, katanya, pembantu pengurusan murid juga komited membimbing kanak-kanak istimewa itu termasuk menyiapkan diri dan membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran bermula peringkat prasekolah lagi.

“"SKPK Alma ditubuhkan pada April 1997 sebelum ini dikenali Sekolah Rendah Pendidikan Khas St Nicholas adalah sekolah berasrama harian bagi murid cacat penglihatan.

GURU SKPK Alma (belakang) membantu muridnya menjalani latihan amali.

"Kita mempunyai 63 murid iaitu 33 lelaki dan 30 lagi perempuan berumur lima hingga 14 tahun dan semuanya mengalami masalah penglihatan termasuk buta dan rabun.

"Sasaran kami adalah meningkatkan pencapaian akademik setiap murid supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan pemodenan negara, sekali gus membimbing mereka berdikari," katanya.

Beliau berkata, pendekatan diambil termasuk mengadakan kelas tambahan dan kem motivasi bagi membantu meningkatkan pencapaian, khususnya bahasa Inggeris.

Katanya, dengan usaha gigih tenaga pengajar serta bantuan Persatuan Orang Buta Malaysia, pihaknya yakin dapat menunaikan tanggungjawab menyalurkan ilmu kepada golongan istimewa berkenaan.

Hassan Basri Mukhtar

"Kita sentiasa mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi membantu murid belajar dengan lebih berkesan.

“Walaupun serba kekurangan, mereka mempunyai hati dan perasaan seperti pelajar normal.

“Justeru, pendekatan yang digunakan juga perlu seimbang kerana mereka mahu dilayan seperti murid lain dan melupakan sejenak kekurangan dialami,” katanya.

Kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum membolehkan SKPK Alma diiktiraf sebagai Sekolah Kluster pertama kategori Sekolah Pendidikan Khas pada 2007.

Usaha gigih guru membolehkan sekolah berkenaan menempa nama termasuk menerima sijil cemerlang bagi pertandingan seni lukis pelajar Malaysia-Jepun selama empat tahun berturut-turut sejak 2002, sijil penghargaan peningkatan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (2005) dan Naib Johan Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran (1999, 2005 dan 2006).

Berita Harian Online: 8 Julai 2009

Tiada ulasan: