Khamis, 9 Julai 2009

Minda Pengarang: Penggunaan bahasa mudah difahami bantu proses pembelajaran

PERANCIS, Jepun dan China antara negara yang begitu bangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing. Ia menjadi prasyarat penting dalam apa juga urusan yang membabitkan kepentingan negara sama ada dalam bidang perdagangan, perindustrian, bisnes, pendidikan sosial dan sebagainya, malah ia adalah bahasa komunikasi terpenting di negara-negara berkenaan. Pelajar asing juga wajib mempelajari bahasa mereka jika mahu mencari ilmu dalam sistem pendidikan negara berkenaan. Namun, mereka tidak memandang ringan kepentingan bahasa lain, khasnya Inggeris kerana sedar ia adalah bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu. Di Malaysia, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dikuatkuasakan di sekolah pada sesi 2003, ia menimbulkan banyak reaksi. Matlamat kerajaan ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa asing itu dalam kedua-dua subjek penting terbabit. Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa penghantar untuk kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Banyak kelemahan, termasuk kekurangan guru yang mahir berbahasa Inggeris untuk menjayakan PPSMI yang memaksa ia dikaji semula. Selepas enam tahun, PPSMI gagal menunjukkan kejayaan, khasnya pencapaian murid dan pelajar di luar bandar.

Paling nyata, pelaksanaan PPSMI menjejaskan prestasi pelajar, terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Berdasarkan kajian 59 negara itu, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Hakikatnya ialah menggunakan bahasa yang mudah difahami adalah penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa. Oleh itu, kita mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam untuk mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang dilihat sebagai keputusan adil kepada semua, bukan saja murid luar bandar dan pedalaman, malah murid yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris. Kita yakin kerajaan membuat keputusan drastik itu bukan semata-mata atas desakan pejuang bahasa, sebaliknya selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar itu diperkenalkan. Kita juga menyambut baik langkah kerajaan yang turut memutuskan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan dimantapkan lagi. Ini bermakna instrumen serampang dua mata itu menepati matlamat memperkasakan sistem pendidikan negara, sekali gus memastikan kepentingan pelajar sentiasa diberi keutamaan melebihi desakan politik dan pihak tertentu.

Berita Harian Online: 9 Julai 2009

Tiada ulasan: