|
|
KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencukupi setakat di sekolah rendah dan menengah tetapi perlu sehingga ke universiti.
Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pemansuhan PPSMI hanya di peringkat sekolah rendah hingga tingkatan lima akan menimbulkan masalah kepada pelajar apabila memasuki tingkatan enam, matrikulasi atau universiti pada masa depan.
Katanya, ini kerana tiba-tiba sahaja mereka terpaksa beralih menggunakan bahasa Inggeris.
''Bagi GMP, memansuhkan PPSMI bererti memansuhkan semuanya iaitu kembali sepenuhnya kepada dasar pembelajaran sebelum 2003 ketika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu dari tahun satu sampai tingkatan enam dan seterusnya ke universiti,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di sini hari ini.
Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said selaku Penasihat GMP, Pengarah Eksekutif Yayasan Tamil Malaysia, C. M Elanttamial dan Naib Setiausaha Kanan Pusat Pembangunan Kebudayaan Bekas-Bekas Guru Cina Malaya (LLG), Goh Kean Seng.
Selain menuntut PPSMI dimansuhkan secara menyeluruh, Hassan berkata, GMP juga mahu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina dimulakan pada tahun depan bagi murid-murid tahun satu.
''Kita mahu pelajar yang baru masuk sekolah diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing mulai 2010 bukannya 2012,'' katanya.
Hassan berkata, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil bagi tahun satu tidak menimbulkan masalah kerana Kementerian Pelajaran boleh menyediakan bahan-bahan bacaan dan buku teks dalam ketiga-tiga bahasa ini mulai sekarang.
Katanya, kementerian juga boleh menggunakan semula buku-buku teks lama yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk mata pelajaran Sains dan Matematik sebelum 2003.
Beliau berkata, walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, GMP tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memansuhkan PPSMI.
Mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa dengan keputusan itu, Hassan berkata, ia hak peribadi bekas Perdana Menteri itu untuk berasa begitu.
Bagaimanapun, katanya, GMP tidak sependapat dengan Dr. Mahathir kerana lebih mementingkan suara rakyat.
''Pemansuhan PPSMI kami anggap sebagai kejayaan tuntutan rakyat semua kaum dan kerana itu GMP akan mengadakan sambutan pemansuhan PPSMI pada pukul 9 malam, 19 Julai ini bertempat di Stadium Bandar Baru Bangi,'' katanya.
Sementara itu, A. Samad berkata, beliau mewakili golongan sasterawan negara berasa lega dengan keputusan Menteri Pelajaran memansuhkan PPSMI.
''Lega. Itu kata-kata yang saya gunakan apabila Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan PPSMI
''Ada beberapa perkara yang saya fikir membuat saya lega. Antaranya, saya tidak perlu berada di mana-mana tempat untuk memperjelaskan isu ini.
''Kedua, saya fikir apa yang telah diperjelaskan agak mencukupi untuk setakat ini walaupun sebenarnya masih timbul pertanyaan lain mengenai dasar ini,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 10 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan